KOTA BHARU: UMNO perlu berani untuk mengemukakan senarai nama calon yang akan diangkat sebagai rakyat lebih awal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung bagi memboleh individu tersebut memberikan khidmat.
Naib Presidennya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada masa sama ia memboleh pengundi untuk mengenali lebih dekat calon yang akan mewakili mereka jika menang pada pilihan raya nanti.
“Sebelum ini UMNO tidak berbuat demikian kerana kita kuat. Bila kuat, saat akhir pun kita boleh menang, namun situasi hari ini sudah berubah.
“Jadi kita perlu ubah kerana ‘mood’ rakyat sudah berbeza berbanding sebelum ini. Bila umum lewat, mereka yang menjadi calon tidak berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Kelantan di sini hari ini.
Johari memberitahu, rakyat akan memilih calon yang mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata, beliau mahu UMNO Kelantan melahirkan lebih ramai pemimpin muda untuk diangkat sebagai calon pada PRU nanti.
Katanya, pemimpin muda itu perlu diberikan tunjuk ajar oleh pemimpin senior dalam gandingan mantap untuk berdepan dengan Pas nanti.-UTUSAN











