Tiga sahabat kayuh basikal tua sejauh 300 km - Utusan Malaysia

Tiga sahabat kayuh basikal tua sejauh 300 km

MOHD. Ariff Bidin (kanan) bersama Mohd. Nasir (tengah) dan Mohd. Sarif bersedia untuk memulakan kayuhan basikal klasik sejauh 300 kilometer ke Johor Bahru, Johor ketika ditemui di Ampangan, Seremban pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga sahabat yang merupakan peminat basikal klasik di negeri ini termasuk salah seorang daripada mereka yang sudah berusia 63 tahun sanggup untuk mengayuh basikal itu sejauh 300 kilometer (km) ke Johor Bahru dari Ampangan di sini.

Menurut Pengerusi Kelab Basikal Tuo Soghomban (KBTS), Mohd. Ariff Bidin, 43, dia bersama dua orang lagi rakannya, Mohd. Nasir Wahab, 63, dan Mohd. Sarif Mohd. Yusuf memulakan kayuhan hari ini bagi menyertai acara Kayuhan Di Tepian Selat Tebrau, Johor Bahru, Johor pada 29 Jun ini.

Katanya lagi, ini kali pertama mereka bertiga mengayuh basikal bagi jarak sejauh itu dan ia dilakukan semata-mata minat terhadap basikal klasik ataupun dipanggil basikal tua.

“Kami akan membuat kayuhan merentas tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sejauh 300 kilometer. Memandangkan ada acara anjuran Kelab Basikal Klasik Selat Tebrau nanti kami ambil peluang dengan berkayuh basikal ke sana.

“Memang ini sejarah dalam hidup kami berkayuh basikal sejauh ini, sebelum ini hanya sampai ke Muar sahaja. Memang kali ini agak mencabar sedikit dan ia akan mengambil masa sehingga empat hari dengan kami akan berhenti di beberapa tempat.

“Walaupun nampak usang, basikal kami ini masih kuat serta mempunyai ketahanannya, insya-Allah kami akan selamat sampai ke destinasi,” katanya ketika ditemui di Ampangan di sini.

Menurut Mohd. Nasir pula, pada usia sudah melebihi 60-an, dia berharap berada pada tahap kesihatan yang baik bagi menghabiskan kayuhan itu nanti.

“Secara peribadi tiada apa-apa persiapan khusus cuma sebelum ini memang sudah biasa menyertai acara kayuhan basikal klasik di antaranya jarak dari Seremban ke Klang, Selangor dan Seremban ke Port Dickson.

“Basikal juga berada dalam keadaan baik cuma saya berdoa kepada Allah SWT agar berada dalam keadaan kesihatan yang baik,” katanya lagi.

Bagi Mohd. Sarif pula, dia berharap kayuhan basikal ke Johor Bahru itu yang pastinya menguji fizikal dan mental selain ketahanan basikal dapat memberikan pengalaman berharga buat dirinya dan dua orang rakannya yang lain itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×