Tiga maut dua kereta bertembung di Sungai Salan, Jerantut - Utusan Malaysia

Tiga maut dua kereta bertembung di Sungai Salan, Jerantut

TIGA maut akibat pertembungan kereta Perodua Myvi dan Perodua Bezza dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 18,Jalan Jerantut-Maran berdekatan Sungai Salan di Jerantut, Pahang. - FOTO/IPD JERANTUT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ibu dan anak perempuan termasuk seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 18 Jalan Jerantut-Maran berdekatan Sungai Salan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, mangsa, Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Jerantut, manakala anak perempuannya, Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, disahkan maut oleh petugas perubatan di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa kemalangan yang maut, Suhaimi Abd. Rahman, 42, pemandu sebuah kereta lagi meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Jerantut.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian semasa kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu Syaifol Bahari Idris, 50, seorang petugas pemandu ambulans dalam perjalanan dari arah Jengka menghala ke Jerantut, manakala kereta jenis Perodua Myvi dipandu Suhaimi dari arah Jerantut menghala ke Felda Kota Gelanggi Dua.

“Setiba di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kereta Perodua Bezza. dipandu oleh Syaifol Bahari yang turut dinaiki isterinya, Norazlina dan anak perempuan, Nur Harina Fatihah,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut di sini.

Menurut Zukri, akibat kemalangan tersebut, seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi ketika menerima rawatan di Hospital Jerantut.

Katanya, pemandu Perodua Bezza, Syaifol Bahari cuma mengalami luka bahagian lutut dan lebam di bahagian badan.

“Siasatan polis mendapati punca kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu Perodua Myvi yang masuk laluan bertentangan setiba di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN