PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara memutuskan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengekalkan jawatannya sebagai Presiden parti itu bagi pemilihan akan datang.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November 2023.
“Parti turut melantik Datuk Dr. Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan
yang baharu,” katanya.
Terdahulu, perkara itu dibuat selepas mengadakan Mesyuarat MPT pada Jumaat yang dipengerusikan Muhyiddin.
Dalam perkembangan sama, status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah diputuskan.
“MPT telah mengarahkan Setiausaha Agung, untuk membuat tindakan susulan terhadap mereka.
“Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan,” katanya.
Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan tarikh-tarikh persidangan parti bagi tahun ini.
Antaranya melibatkan persidangan Cawangan (20 Julai – 31 Ogos), Bahagian (12 – 26 Oktober), Perhimpunan Agung Sayap
Bersekutu dan Srikandi Muda (28 November), Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi (29 November) dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (30 November – 1 Disember).-UTUSAN










