GAZA: Lebih 120 mayat rakyat Palestin ditemukan dari runtuhan dua hari selepas tentera Israel meninggalkan kem Jabalia di utara Gaza, lapor agensi berita Anadolu.
Sumber perubatan di Hospital Kamal Adwan memberitahu bahawa kru kecemasan dan pasukan pertahanan awam menemukan lebih 120 mayat Palestin dari jalan yang musnah dan di bawah runtuhan bangunan runtuh di kem Jabalia.
Jumaat lalu, tentera Israel mengisytiharkan tamat serangannya di kawasan Jabalia selepas 20 hari melakukan pencerobohan.
Di tengah-tengah dakwaan bahawa Tel Aviv menyembunyikan angka korban yang tepat, serangan itu turut meragut nyawa 10 tentera Israel.
Israel melancarkan serangan kejam terhadap Gaza sejak Oktober lalu walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.
Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 36,400 rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak dan wanita dan mencederakan lebih 80,000 yang lain.
Lebih tujuh bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas dikelilingi runtuhan selain berdepan sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Malah, ICJ memerintahkan tentera Israel tidak melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
Namun, menurut Afrika Selatan, Israel mengabaikan perintah mahkamah.










