TANJUNG MALIM: Lelaki yang menyelamatkan dua mangsa pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk terhempas di kawasan ladang Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai di sini pada 4 Mei lalu tidak mengharapkan sebarang balasan bagi jasanya itu.
Penyelia ladang, Abdullah Abdul Talib, 37, berkata, selepas kejadian itu, kedua-dua mangsa yang terlibat berhasrat untuk berjumpanya sebagai tanda terima kasih, namun dia menolak dengan baik.
“Mereka ingin berjumpa tetapi saya kata tidak perlu. Biar sembuh, sihat dan ada WhatsApp juga, berhubung sampai sekarang.
“Rasa syukur dapat bantu orang dalam kesusahan dan memang kewajiban saya untuk membantu,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Muallim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di sini semalam.
Pada majlis tersebut, Abdullah menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir.
Katanya, dia terkejut dengan pemberian surat penghargaan itu namun bersyukur dan gembira.
“Dimaklumkan Selasa lepas ada surat, ada juga terima panggilan diminta datang untuk terima anugerah ini.
“Syukur dihargai, saya tidak mengharapkan penghargaan tetapi apabila dipanggil, rasa gemuruh dan gembira pun ada,” katanya.
Abdullah adalah individu terlibat menjumpai pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk yang terhempas di kawasan ladang dalam Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai pada 4 Mei lalu.
Dalam nahas sekitar pukul 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, cedera di muka.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dari Akademi Penerbangan Layang-Layang itu menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh.











