Hanya sembilan kilang padiMelayu masih bertahan

Hanya sembilan kilang padi Melayu masih bertahan

HANYA sembilan atau 5.4 peratus daripada 167 kilang beras milik orang Melayu di seluruh negara yang masih meneruskan operasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hanya sembilan atau 5.4 peratus daripada 167 kilang beras milik orang Melayu di seluruh negara yang masih meneruskan operasi dalam serba kesukaran sejak 15 tahun lalu.

Kilang dan pemborong beras kecil Melayu ini mungkin gulung tikar dan semakin sukar untuk bertahan berikutan sejumlah syarikat besar atau taikun beras membeli harga padi yang terlalu tinggi daripada pesawah.

Justeru, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kerajaan melalui Kawal Selia Padi dan Beras perlu menarik balik atau tidak memperbaharui lesen broker atau pelesen yang beroperasi kurang 20 kilometer dari kilang padi komersial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Marzukhi berkata, pelesen dan broker inilah yang memindahkan padi dari kawasan yang sepatutnya dijual di kilang berhampiran ke kilang-kilang besar yang menaja mereka dengan komisen tinggi.

Ujarnya, pelesen padi yang berada di luar kawasan jejari lebih 20 kilometer hanya boleh dibenarkan menyediakan kemudahan untuk petani memasarkan padi mereka.

“Pelesen atau broker yang hanya bermodalkan penimbang dan bangsal pemunggahan padi dan tanah yang tidak ditukar syarat tetapi mendapat keuntungan besar atas hasil petani.

“Sebagai orang tengah, mereka secara langsung menaikkan kos pengeluaran beras tempatan.

“Ini sekali gus menjuruskan pengilang-pengilang besar membungkus beras dengan menukar gred beras tempatan yang dikawal harganya dengan menipu pengguna sebagai beras import,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan sejumlah syarikat besar atau taikun beras didakwa mengawal kumpulan broker padi dan menawarkan harga belian padi yang tinggi iaitu antara RM1,600 hingga RM1,800 per tan metrik kepada pesawah.

Golongan taikun yang dikatakan menguasai lebih 70 peratus bekalan beras negara juga didakwa memberi komisen antara RM100 sehingga RM200 per tan kepada pelesen atau broker untuk membawa padi kepada syarikat atau kilang besar terlibat.

Menurut sumber dalaman sebuah kilang beras, tawaran lumayan itu membuka ruang kepada syarikat-syarikat besar ini memanipulasi proses pembungkusan yang menyaksikan beras tempatan ‘bertukar’ menjadi beras import selain dijual dengan harga lebih tinggi.

Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan kilang-kilang padi Melayu mungkin hanya tinggal nama dan semakin sukar untuk bertahan berikutan terpaksa menanggung kerugian besar ekoran permainan harga belian melibatkan kilang-kilang besar.

Kilang-kilang besar ini lazimnya bersaing sesama sendiri membeli padi dengan harga tinggi antara RM1,800 hingga RM2,100 bagi satu tan metrik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini