MELAKA: Hampir 70 peratus daripada keseluruhan 54.22 hektar tanah Melaka Halal Hub di Serkam, Jasin sudah digunakan untuk pembangunan industri halal dan industri kecil dan sederhana (IKS) setakat ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, hanya 3.23 hektar tanah belum digunakan untuk sebarang pembangunan.
Menurutnya, setakat ini terdapat 92 usahawan industri halal bertapak di kawasan itu termasuk 12 kilang dan 147 lot IKS.
“Kita lihat dari segi penggunaan tanah di Melaka Halal Hub hampir 70 hingga 80 peratus telah digunakan untuk pembangunan industri halal, hanya 3.23 hektar tanah masih belum digunakan.
“Kerajaan negeri dalam usaha untuk menambah bilangan usahawan industri halal, cuma kekangan yang dihadapi adalah untuk mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas merasmikan Budi@Seni Inspirasi Generasi (I-Gen) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu di sini, semalam.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tidak puas hati dengan tahap guna pakai dan pembangunan di 14 Taman Industri Halal HALMAS (Halal Park) di seluruh negara.
Ini kerana hanya 11 peratus daripada keseluruhan 5,484 hektar di Halal Park itu dibangunkan setakat ini biarpun ia sudah dilancarkan sejak 2009.
Tambah Khaidhirah, pihaknya menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengenal pasti kekangan dihadapi setiap kerajaan negeri.
Ujarnya, usaha itu memperlihatkan kerajaan begitu komited dalam memastikan industri halal berkembang maju selain dapat mengenal pasti beberapa kekangan dihadapi.
“Seperti di Melaka Halal Hub, daripada 92 usahawan yang bertapak di kawasan tersebut, hanya 40 usahawan memperoleh pensijilan halal daripada Jakim. Lapan usahawan lagi masih dalam proses menunggu kelulusan Jakim.
“Kerajaan melalui Jakim, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) perlu memikirkan jalan terbaik bagi memudahkan urusan dan kelulusan pensijilan halal dalam kalangan usahawan industri halal di negeri ini,” tegasnya.










