Tanah runtuh ancam 1,000 penduduk

Tanah runtuh ancam 1,000 penduduk

RUNTUHAN tebing di kawasan perumahan mewah Cassia Garden Residence, Cyberjaya merisaukan penduduk kerana kini sudah membentuk kawah sedalam 8 meter. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kira-kira 1,000 penduduk di perumahan mewah Cassia Garden Residence di sini bimbang runtuhan tebing di kawasan berhampiran boleh mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.

Lebih membimbangkan, runtuhan tebing yang dikesan hampir sebulan lalu sudah membentuk kawah sedalam 8 hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat kini semakin menghampiri kediaman penduduk.

Memberitahu Utusan Malaysia, seorang penduduk, Anizan Ali berkata, runtuhan sudah menghakis sepanjang 10 hingga 15 meter dan meruntuhkan benteng pagar batu antara tebing dengan perumahan itu.

“Jarak antara runtuhan dari pagar asal dengan kediaman penduduk kini tinggal kira-kira 10 meter dan ia juga satu-satunya laluan utama keluar masuk di kawasan perumahan ini.

“Garden Residence memiliki lima fasa perumahan, iaitu Aspen, Clover, Jacaranda, Evergreen dan Cassia. Namun, kawasan yang hampir dengan tebing runtuh itu adalah Cassia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Cassia menempatkan 220 unit kediaman bernilai RM1.2 juta yang mula diduduki sejak 13 tahun lalu.

Menurut Anizan, kes runtuhan itu sudah pun diadukan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) dan pemaju.

Katanya, MP Sepang memaklumkan, pemaju perumahan belum lagi menyerahkan kawasan tersebut kepada pihaknya sekali gus menyukarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mengambil tindakan.

“Oleh itu, pemaju yang sepatutnya membuat kerja-kerja baik pulih, namun sehingga hari ini belum ada pihak mereka datang untuk ambil tindakan.

“Kami risau keadaan bertambah buruk apatah lagi cuaca tidak menentu sekarang dengan hujan lebat pada sebelah petang yang boleh menyebabkan air bertakung dan pergerakan tanah boleh berlaku bila-bila masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Badan Pengurusan Bersama (JMB) Cassia, Hanie Azween berkata, pihaknya menyedari runtuhan berlaku pada 25 April lalu sehingga meruntuhkan pagar batu akibat saluran longkang runtuh.

“Pada masa ini, struktur tebing dilitupi sementara kanvas yang dibuat MP Sepang bagi mengelak runtuhan susulan. Kami berharap kerja-kerja baik pulih dilaksanakan segera oleh pemaju kerana kabel bekalan elektrik utama telah terputus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN