Dua pekerja maut masuk lurang tanpa patuh arahan larangan - Utusan Malaysia

Dua pekerja maut masuk lurang tanpa patuh arahan larangan

Pekerja maut
TIGA pekerja kontrak kabel Telekom maut selepas masuk ke dalam pembetung pada kedalaman lima meter dekat Cyberjaya di Sepang, Selangor, Isnin lalu. - Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua daripada tiga pekerja kontrak yang maut ketika melakukan kerja pemasangan kabel bawah tanah di Taman Sains Selangor 2, Cyberjaya dipercayai memasuki lurang tanpa mematuhi arahan larangan dikeluarkan penyelia mereka. 

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor menerusi kenyataan berkata, siasatan mendapati kejadian menimpa lelaki warga Indonesia berusia 30 hingga 42 tahun itu berlaku kira-kira pukul 3 petang, Isnin lalu. 

Menurutnya, kesemua mangsa merupakan pekerja subkontraktor yang dilantik bagi kerja menaiktaraf infrastruktur telekomunikasi di kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian mereka sedang mengenal pasti lurang dan dua daripadanya masuk tanpa menghiraukan arahan larangan yang dikeluarkan.

“Mangsa ketiga cuba membantu namun gagal dan terperangkap dalam lurang itu selain tidak mampu bergerak keluar biarpun diberikan peralatan berkaitan,” katanya.

Jelas kenyataan itu, JKKP Selangor mengeluarkan notis larangan serta merta berikutan kegagalan majikan mengawal kemasukan pekerja ke dalam ruang terkurung.

“Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian turut dikeluarkan kepada pihak majikan.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab jika wujud pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelasnya.

Tambahnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja termasuk melakukan kawalan risiko yang berkesan.

“Kejadian seumpama itu boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“Majikan perlu mengenalpasti bahaya di tempat kerja dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti,” ujarnya.

Terdahulu, tiga pekerja kontrak yang dilaporkan maut merupakan pekerja kontrak pemasangan kabel Telekom. Mangsa ditemui pengsan di dalam pembetung pada kedalaman lima meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya