Pinda Akta 3 elak nahas udara berulang - Pakar

Pinda Akta 3 elak nahas udara berulang – Pakar

Pesawat ringan yang terhempas di Perak Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meminda Akta Penerbangan Malaysia 1969 (Akta 3) selari dengan perkembangan teknologi terkini supaya nahas udara yang berlaku kebelakangan ini boleh dielak.

Ketua Penerbangan Mencari & Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Prof. Madya Mejar Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian berkata, tidak dinafikan beberapa pindaan tambahan telah dilakukan terhadap akta berkenaan.

Namun, menurut beliau, akta itu yang turut memperuntukkan penalti kepada pihak yang melanggar undang-undang penerbangan negara, perlu dipinda lagi mengikut aliran masa dan evolusi teknologi penerbangan masa kini.

“Misalnya, perlu tambahan yang mewajib atau menasihatkan operator-operator penerbangan mengguna pakai Model Matematik Percanggahan untuk mengenal pasti secara jitu anomali-anomali yang wujud.

“Malah, ia juga untuk merumuskan nilai pelencongan daripada nilai dasar supaya solusi-solusi yang bernas dapat dibangunkan untuk mengurangkan insiden-insiden kemalangan udara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas demikian usaha yang perlu dilakukan supaya nahas udara terutamanya membabitkan pesawat ringan dapat dielak.

Mingguan Malaysia melaporkan, nahas udara yang kerap berlaku di negara ini sejak tiga tahun lalu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pesawat ringan dalam menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

Sebanyak sembilan kemalangan udara dilaporkan sejak 2021 dengan empat daripadanya melibatkan pesawat ringan dan enam lagi helikopter termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Harridon berkata, operator juga hendaklah proaktif dengan mengintegrasi kaedah ‘penyelenggaraan ramalan’ atau predictive maintenance dalam metodologi pembaikan dan penyelenggaraan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pesawat.

“Dalam predictive Maintenance, beberapa model matematik akan dibangunkan di mana rumus-rumus matematik ini akan diguna pakai untuk menjangkakan kegagalan komponen-komponen pesawat.

“Ini membolehkan operator-operator penerbangan menukar atau menyelenggara pesawat dengan lebih teratur, jitu, tepat, dan juga menjimatkan kos pada waktu yang sama.

KAEDAH

“Saya telah terlibat membangunkan Model Matematik Predictive Maintenance di beberapa organisasi penerbangan di luar negara di mereka amat menerima kaedah atau metodologi terbaharu ini,” katanya.

Sementara itu, Pakar penerbangan, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berpendapat, penelitian menyeluruh perlu dilakukan supaya nahas udara yang berlaku sejak kebelakangan ini dapat dielak.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diambil kira untuk mendapatkan gambaran sebenar bagi membolehkan isu yang timbul dapat diselesaikan dari peringkat akar.

“Dari segi pengawasan, mungkin soal kekurangan kakitangan dan terpaksa melakukan banyak tugas, jadi kualiti serta efisiensi jatuh.

“Dalam industri penerbangan kena lihat secara menyeluruh. Misalnya bas dipandu laju, selepas diteliti pemandu cuai dan apabila disiasat lebih lanjut, pemandu itu bekerja atas komisen, jadi terpaksa pandu laju untuk kejar trip,” katanya.

Nik Ahmad Huzlan yang juga bekas Ketua Juruterbang Serantau Malaysia Airlines (MAS) bagaimanapun berkata, kemalangan udara di negara ini tidak begitu membimbangkan sehingga memerlukan langkah terperinci.

Katanya, ini kerana dalam tempoh setahun, kematian melibatkan kemalangan jalan raya lebih tinggi dibandingkan nahas udara.

“Berapa juta naik kereta guna lebuh raya dan berapa ratus orang mati di sana jika dibandingkan dengan kemalangan udara?

“Jadi, sembilan kemalangan dalam masa tiga tahun itu jika dipuratakan, tiga kali setahun. Ia tidak ganjil dan tidak dilihat tiga kali itu besar sangat dan nampak kemalangan banyak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN