MARANG: Seramai 20 ahli Koperasi Kariah Masjid Kampung Tebakang, Marang Berhad (Komit) di sini mengusahakan tanaman padi huma di pekarangan rumah mereka di kampung tersebut untuk keperluan sara diri sejak November tahun lalu.
Setiausaha Komit, Muhammad Khaidhir Hussin berkata, projek perintis tanaman padi huma tersebut diusahakan empat ahli koperasi itu yang ditanam di atas tanah, pasu dan bekas plastik.
Menurutnya, padi yang diusahakan empat penduduk itu menunjukkan kejayaan apabila mengeluarkan buah dan boleh dituai dalam tempoh tiga hingga lima bulan, sebelum projek tersebut dikembangkan kepada seramai 16 ahli lain.
Katanya, antara varieti padi yang ditanam laila black basmati, tangkai langsat serta jarum galah dan pada peringkat awal, bekalan benih disediakan oleh Komit.
“Buat permulaan, padi tersebut ditanam untuk mendapatkan bekalan benih bagi tujuan meluaskan lagi tanaman selepas ini, sebelum dapat menampung keperluan sumber makanan ruji penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Tebakang di sini, semalam.
Muhammad Khaidhir memberitahu, tanaman padi huma lebih mudah diuruskan kerana tidak memerlukan bekalan air yang banyak dan lasak daripada serangan penyakit dan serangga.
“Komit percaya projek tanaman padi huma di pekarangan rumah ini berjaya, seterusnya dapat menampung bekalan beras dalam kalangan penduduk kampung pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, ahli Komit, Zaimah Abdullah, 71, berkata, dia mula mengusahakan tanaman padi huma di pekarangan rumahnya pada November lalu selepas mendapat bekalan benih padi daripada Komit.
Menurutnya, dia teruja dapat menanam pokok padi varieti basmati dan tangkai langsat walaupun hanya melibatkan kawasan seluas kira-kira satu meter lebar dan tiga meter panjang.
“Dalam tempoh kira-kira lima bulan, saya boleh menuai padi tersebut dan buah padi itu saya simpan untuk dijadikan benih,” ujarnya.










