KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM728,124.80 di dua premis berbeza sekitar Johor.
Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, rampasan terbabit dilakukan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang, stesen Kuantan, pada 18 April dan 19 April lalu berdasarkan maklumat orang awam.
Katanya, dalam kes pertama pada 18 April lalu, satu serbuan dilakukan pada pukul 12 tengah hari di sebuah premis rumah teres di Kluang, Johor yang mana pasukan JKDM Pahang berjaya menyita sebanyak 663,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama disyaki barang tidak berkastam.
“Rokok berkenaan yang dipercayai diseludup dari negara jiran disimpan dalam premis terbabit yang tidak berpenghuni.
“Nilai rampasan bagi kesemua rokok terbabit termasuk cukai adalah dianggarkan berjumlah RM528,127.20,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Besar di sini hari ini.
Bagi kes kedua pula, Ribuan berkata, dalam serbuan dilakukan pada pukul 5 pagi, 19 April lalu, pihaknya menyita sebanyak 255,800 batang rokok pelbagai jenis dan jenama yang dianggarkan bernilai RM119,997.60 termasuk cukai yang disorok di sebuah premis rumah kampung di Paloh, Johor.
“Modus operandi bagi kedua-dua kes ini ialah sindiket menggunakan premis tidak berpenghuni untuk menyimpan rokok-rokok yang diseludup dari negara jiran.
“Pihak JKDM Pahang masih dalam proses untuk mengesan pemilik premis berkenaan dengan bantuan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga masih dalam siasatan bagi mengesan sama ada kegiatan ini didalangi sindiket sama atau berbeza.
“Namun berdasarkan jenis rokok kemungkinan ia didalangi dua sindiket berbeza. Berdasarkan siasatan juga, kita syaki mereka menggunakan laluan laut dan rokok yang diseludup itu adalah untuk dipasarkan ke sekitar Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur,” ujarnya.
Katanya lagi, rokok yang disita diklasifikasikan sebagai barang larangan bersyarat di bawah Butiran Satu Bahagian Dua Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang mana pengimportnya memerlukan lesen import yang sah.
“Perbuatan memiliki rokok tanpa lesen import yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 145 (1) (d) Akta Kastam 1967, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi, penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Ribuan dalam masa sama turut menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat. – UTUSAN










