TENOM: Pendakwah bebas, Firdaus Wong dan pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya tidak mendapat kebenaran daripada pengadu untuk memfailkan saman sivil terhadap Ebit Lew.
Saksi kesembilan iaitu pengadu dalam kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa Firdaus Wong dan NGO diterajuinya memang ada memberi cadangan untuk memfailkan saman sivil namun, dia tidak tahu dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Saski juga menyatakan dia tidak ada memberi arahan supaya saman sivil terhadap Ebit difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Saksi berkata sedemikian semasa menjawab soalan dikemukakan peguam bela, Datuk Ram Singh dalam sesi pemeriksaan balas berkenaan saman sivil yang dikatakan difailkan oleh pengadu.
Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria kemudian membantah soalan dikemukakan peguam bela dengan menyatakan mereka membantah terhadap soalan yang terperinci berkenaan saman sivil kerana tidak relevan terhadap kes hari ini.
“Saya juga percaya saksi sebagai orang awam tidak arif prosedur undang-undang sivil,” katanya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Seterusnya saksi memberitahu dia juga pernah berjumpa dengan peguam daripada pasukan NGO diterajui Firdaus Wong.
Menurut saksi, pasukan peguam itu memberikan nasihat terhadapnya berkenaan kes jenayah ini dan mereka memberi kata-kata semangat apabila dia sebagai pengadu dikecam.
Dalam keterangannya, saksi menyatakan tidak bersetuju dengan soalan Ram bahawa pasukan peguam tersebut turut memberi tunjuk ajar kepadanya dalam kes jenayah itu.
Malah katanya, dia setuju kehadiran Firdaus Wong dan peguam dari NGO diterajuinya pada perbicaraan hari Isnin (20 Mei) adalah bagi memberi sokongan moral terhadapnya.
Perbicaraan hari ini ditangguhkan dan akan disambung semula pada 26 hingga 30 Ogos depan.
Mahkamah turut menetapkan satu lagi tarikh baharu untuk sambungan perbicaraan pada 2 hingga 6 September manakala, tarikh perbicaraan pada bulan Julai yang ditetapkan sebelum ini dikosongkan.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.










