3.59% murid ponteng sekolah tahun lalu

3.59% murid ponteng sekolah tahun lalu

Kementerian Pendidikan mengesan 3.59 peratus murid ponteng sekolah tahun lalu. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 3.59 pe­ratus dalam kalangan murid sekolah direkodkan sebagai pon­­teng sekolah yang dikesan berdasarkan Sistem Sahsiah Di­ri Murid bagi sesi akademik 2023/2024 lalu.

Berdasarkan maklum balas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Utusan Malaysia, murid dikategorikan sebagai ponteng sekolah sekiranya mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah.

Jumlah murid ponteng ini adalah bersamaan kira-kira 182,848 orang murid jika dikira daripada jumlah keseluruhan murid seramai 5,093,272 mengikut data KPM.

Menurut KPM, tidak hadir ke sekolah terbahagi kepada dua keadaan iaitu tidak hadir berturut-turut dan tidak hadir tidak berturut-turut.

Katanya, surat buang sekolah akan diberikan kepada ibu bapa atau penjaga mengenai ketidakhadiran murid iaitu 14 hari selepas surat amaran ter­akhir atau tiga kali surat amaran diberikan bersamaan 31 hari tidak hadir berturut-turut.

Bagaimanapun, surat amaran pertama akan diberikan terlebih dahulu iaitu pada hari ketiga tidak hadir berturut-turut, dan kemudian surat amaran kedua diberikan iaitu tujuh hari selepas amaran pertama dan surat amaran terakhir iaitu tujuh hari selepas amaran kedua.

“Bagi mereka yang tidak hadir tidak berturut-turut, surat amaran pertama diberikan ialah pada hari ke-10; surat amaran kedua (10 hari selepas amaran pertama) dan surat ama­ran terakhir (20 hari selepas amaran kedua).

“Surat buang sekolah akan diberikan kepada ibu bapa atau penjaga iaitu 20 hari selepas amaran terakhir atau bersamaan dengan jumlah 60 hari tidak hadir bukan berturut-turut.

“Tindakan buang sekolah merupakan langkah terakhir yang diambil setelah sesi intervensi telah dibuat,” katanya di sini baru-baru ini.

KETIDAKHADIRAN

KPM menetapkan sebab-sebab ketidakhadiran murid dalam sistem e-kehadiran dan pihak sekolah mengenal pasti sebab-sebab ketidakhadiran murid dengan menghubungi ibu bapa/penjaga murid tersebut.

Pihak sekolah mengemaskini maklumat tersebut setelah menerima maklumat daripada ibu bapa/penjaga murid dan melaksanakan intervensi kepada murid tersebut bagi membantu menangani isu ketidakhadiran murid sebelum mengambil tindakan buang sekolah.

Dalam pada itu, KPM berkata, peratus kehadiran murid pada sesi akademik 2021/2022 peratus direkodkan sebanyak 93.51 peratus kerana aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan ekoran sekolah ditutup akibat wabak Covid-19.

Bagaimanapun, peratusan kehadiran pada sesi akademik 2022/2023 menurun kepada 86.8 peratus selepas murid kembali menjalani pembelajaran secara bersemuka di sekolah disebabkan masih terdapat kebimbangan dari ibu bapa, penjaga dan masyarakat kerana wabak itu.

Namun, jumlah kehadiran pada sesi akademik 2023/2024 lalu meningkat semula kepada 89.01 peratus berbanding sesi akademik sebelumnya.

“Secara keseluruhan isu ketidakhadiran murid berlaku berdasarkan beberapa situasi antaranya musim perayaan tertentu selain faktor murid be­kerja untuk membantu keluarga seperti berniaga hasil tanaman seperti musim buah yang dikesan di kawasan luar bandar.

“Selain itu, faktor cuaca juga turut mempengaruhi kehadirian murid ke sekolah seperti musim hujan dan panas,” katanya.

Jelas KPM, pihaknya sentiasa memandang serius isu ketidakhadiran murid ke sekolah dengan mengambil langkah seperti mengadakan ziarah cakna kepada murid yang tidak hadir termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi membantu pihak sekolah dalam mena­ngani isu salah laku disiplin termasuk murid ponteng atau tidak hadir tanpa sebab.

Katanya, Unit Bimbingan dan Kaunseling turut bekerjasama dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), agensi awam dan swasta bagi menarik minat murid untuk hadir ke sekolah termasuk aktiviti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pada masa sama, KPM mengeluarkan Surat Pekeli­ling Ikhtisas Bilangan 18 Tahun 1988: Penggunaan Budi Bicara Ketika Mengambil Tindakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×