Pengarah syarikat didenda RM15,000 simpan LPG di premis tanpa lesen - Utusan Malaysia

Pengarah syarikat didenda RM15,000 simpan LPG di premis tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pengarah sebuah syarikat didenda RM15,000 ataupun penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini selepas dia mengaku bersalah menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi  berjumlah 988 kilogram di sebuah premis tanpa lesen tahun lalu.

Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Hakim Ariffin, 30, selepas dia dituduh mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh selaku pengarah syarikat didapati telah melakukan satu kesalahan dengan menyimpan barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu LPG jenama Gasul berkapasiti 12 kilogram sebanyak 17 tong dan Petron Gasul berkapasiti 14 kilogram sebanyak 56 tong yang disimpan dalam premis selain yang dinyatakan dalam lesen.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.15 pagi di sebuah premis di Bukit Temensu, Jalan Tampin, di sini, pada 6 Julai 2023.

Oleh itu, tertuduh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, LPG yang disita telah dijual dan hasil jualan telah dijadikan Hasil Sementara Kerajaan melalui sebut harga sebanyak RM4,396.46.

Semakan dengan pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) mengesahkan bahawa tempat kejadian yang disita mempunyai lesen perniagaan bagi pusat jualan makanan ternakan dan pembekal bahan pertanian yang dimiliki oleh syarikat tertuduh dan bukannya aktiviti menjual gas petroleum cecair.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Khairul Azman Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, G Dineshan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN