KUALA PILAH: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan berkaitan trafik di Jempol, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hasrulnizam Hasim, 21, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, dia telah cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis selepas bertindak melarikan diri daripada ditahan polis dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal yang dinaiki anggota berkenaan sehingga terbabas.
Perbuatan itu dilakukan di antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.15 tengah hari di Kilometer Lima, Jalan Serting Tengah-Keratong di Jempol pada 9 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri tidak menawarkan sebarang wang jaminan bagi pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan membabitkan kesalahan trafik pula, kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.25 tengah hari di Kilometer Sembilan, Jalan Bahau-Kemayan di Jempol pada hari yang sama dengan pertuduhan pertama.
Tertuduh sebagai pemandu lori jenis Mitsubishi Fuso, telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya iaitu dengan sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan berbahaya kepada orang awam.
Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan awam dengan tidak cermat terhadap pengguna jalan raya dan cuai telah melanggar sebuah motosikal oleh itu telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan trafik.
Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan cubaan membunuh dan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan membabitkan kesalahan trafik dengan seorang penjamin tempatan serta perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Tarikh 6 Mei ini kemudian ditetapkan bagi sebutan semula kes untuk pengurusan serta lantikan peguam.
Pada 10 April lalu, media melaporkan seorang pemandu lori yang lari sekatan jalan raya (SJR) dikejar sejauh 50 kilometer berjaya ditahan.
Kejadian telah menyebabkan polis melepaskan 10 das tembakan di Kilometer Sembilan, Jalan Bahau-Kemayan yang berakhir dengan kemalangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, dengan bantuan kereta peronda, suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine telah berjaya ditangkap di dalam kawasan ladang sawit Serting Hilir 8, Jempol.-UTUSAN.










