GAZA: Seorang pegawai Israel menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak bersedia untuk membuat perjanjian dengan Hamas mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza.
Lapor media Israel, Perbadanan Penyiaran Israel (KAN), Netanyahu dikatakan tidak mahu mencapai persetujuan itu sekali gus mencipta kesukaran dan meletakkan halangan.
KAJIAN SEMULA PERJANJIAN KOMPREHENSIF
Pegawai itu dilaporkan menambah, Netanyahu sebaliknya meminta kajian semula perjanjian komprehensif tersebut sekali gus bertentangan dengan tawaran Mesir sebagai pengantara.
Bagaimanapun, menurut agensi berita Anadolu, pejabat Netanyahu masih belum memberi ulasan berhubung perkara berkenaan.
Jumaat lalu, delegasi keselamatan tertinggi Mesir tiba di Tel Aviv untuk membincangkan kemungkinan gencatan senjata, menurut media Mesir dan Israel.
Penyiar swasta TV berita Al Qahera memetik sumber Mesir yang tidak dinamakan sebagai berkata, delegasi itu akan membincangkan rangka kerja gencatan senjata yang komprehensif, mengatakan terdapat kemajuan yang ketara.
PELUANG TERAKHIR
Sementara itu, KAN melaporkan bahawa perkhidmatan keselamatan percaya bahawa ini adalah peluang terakhir untuk memulangkan tebusan dari Gaza.
Laman web berita Israel, Ynet juga mengesahkan kedatangan delegasi Mesir di Israel untuk bertemu dengan pegawai dalam usaha mencapai perjanjian berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Penasihat Keselamatan Negara White House, Jake Sullivan berkata bahawa terdapat usaha baru Qatar dan Mesir yang sedang dijalankan untuk cuba mencapai perjanjian antara Hamas dan Israel.
Beliau menambah bahawa terdapat momentum baharu dalam perbincangan mengenai menjalankan perjanjian pertukaran tebusan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Bagaimanapun, media Mesir melaporkan bahawa Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mengancam Netanyahu untuk meninggalkan kerajaan jika inisiatif Mesir berjaya.
Kelmarin, Hamas mengumumkan bahawa mereka menerima maklum balas rasmi Israel terhadap cadangan tawanan dan gencatan senjata yang dihantar ke Mesir dan Qatar pada 13 April lalu.
“Hamas menerima maklum balas rasmi Israel terhadap cadangan pergerakan itu yang dihantar kepada pengantara, Mesir dan Qatar, pada 13 April lalu,” kata Khalil al-Hayya, timbalan ketua kumpulan itu di Gaza, dalam satu kenyataan, menurut Al-Jazeera.
NETANYAHU TIDAK TAKUT ICC
Dalam perkembangan lain, Netanyahu berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak akan menjejaskan tindakan Israel.
“Di bawah kepemimpinan saya, Israel tidak akan sekali-kali menerima sebarang percubaan oleh ICC untuk menjejaskan hak mempertahankan diri mereka,” kata Netanyahu pada aplikasi X.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah laporan media Israel tentang kemungkinan pengeluaran waran tangkap oleh ICC terhadap Netanyahu dan pemimpin politik serta tentera Israel yang lain kerana didakwa melanggar undang-undang antarabangsa dalam serangan berterusan di Gaza.
“Israel akan terus berjuang untuk memenangi perang adil kami menentang pengganas pembunuhan beramai-ramai dan kami tidak akan berhenti mempertahankan diri kami.
“Walaupun ICC tidak akan menjejaskan tindakan Israel, ia akan menjadi satu perkara berbahaya yang mengancam tentera dan pegawai semua negara demokrasi yang memerangi keganasan ganas dan pencerobohan kejam,” kata Netanyahu.
PERBINCANGAN KECEMASAN
Minggu lalu, pegawai kerajaan dan pakar undang-undang Israel bersidang untuk perbincangan kecemasan di pejabat Perdana Menteri untuk menangani ancaman waran tangkap yang semakin hampir, lapor Times of Israel.
Perbincangan termasuk Menteri Luar, Israel Katz, Menteri Kehakiman, Yariv Levin, dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer. –AGENSI










