KK Mart Sungai Isap dilempar bom, polis ambil empat keterangan - Utusan Malaysia

KK Mart Sungai Isap dilempar bom, polis ambil empat keterangan

YAHAYA Othman (kiri) melakukan sesi tinjauan sempena Program Pencegahan Jenayah bertempat di Bazar Ramadan Mahkota Square di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang merekodkan empat keterangan berhubung kejadian kedai serbaneka, KK Super Mart Cawangan Sungai Isap di sini dibaling bom petrol, Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, keterangan terbabit melibatkan empat individu termasuk pengadu dan saksi kejadian.

Katanya, pihaknya masih lagi melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan keterangan-keterangan dan akan melihat daripada semua sudut.

“KK Mart terlibat tidak memiliki CCTV jadi kita akan cuba untuk mendapatkan CCTV dari tempat lain yang ada merakamkan kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pencegahan Jenayah Ketua Polis Pahang di Bazar Ramadan Mahkota Square di sini hari ini.

Selain itu, Yahaya berkata, pihak polis juga akan turut mempertingkatkan rondaan di lokasi yang menempatkan semua cawangan kedai serbaneka terbabit di negeri ini.

“Di Pahang, terdapat 15 buah KK Mart dan dua buah stor yang berada di Kuantan dan Bentong. Kita telah meminta anggota polis kerap melakukan rondaan di semua tempat yang dikenalpasti sekain turut membuat rondaan di tempat lain juga,” katanya.

Menurutnya, pihak KK Mart juga sudah menambahkan ciri keselamatan di kedai serbaneka tersebut termasuk menambah CCTV seperti yang disarankan.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri berkaitan isu stokin tertera nama Allah SWT sebelum ini.

Dalam kejadian pada 30 Mac lalu, sebuah pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap di sini mengalami kebakaran kecil akibat perbuatan khianat dibaling bom petrol.

Bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 5.14 pagi di pasar raya yang baru dua minggu beroperasi itu dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN