Selesaikan segera isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Selesaikan segera isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart – Wan Rosdy

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu kalimah Allah pada stoking dan dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart perlu segera diselesaikan sebelum ia melarat menjadi suatu yang lebih buruk.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu berkenaan juga sudah mula menerbitkan bibit-bibit perbalahan antara kaum.

“Untuk itu, saya mengharapkan seluruh rakyat di negara ini agar dapat menjaga sensitiviti kaum dan agama bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dapat terus dikekalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, Selangor selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan kejadian itu, KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock di cawangan kedai serbaneka tersebut.

Semalam, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming menggesa ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung kemelut tersebut.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon juga dilaporkan meminta Muhamad Akmal tidak memperbesarkan isu terbabit.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, polemik isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart tersebut telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Ia merupakan satu penghinaan kepada agama Persekutuan, terutamanya bagi kami yang menganutinya. Laporan polis sudah mula digerakkan oleh Pemuda UMNO Malaysia dan diikuti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Saya memohon agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan bagi memastikan dalang di sebalik kejadian ini menerima hukuman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN