TEL AVIV: Menteri sayap kanan Israel menggunakan pertikaian Kepulauan Falkland sebagai medan untuk membalas tindakan Britain dengan mendakwa kepulauan di Atlantik Selatan itu sebagai ‘wilayah Argentina yang diduduki’.
Kenyataan itu dibuat kerajaan Britain mengenakan sekatan terhadap barangan dari penempatan haram Israel di Tebing Barat.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menerusi hantaran dalam bahasa Sepanyol di platform X berkata, sudah tiba masa Israel secara terbuka mengiktiraf Kepulauan Malvinas, yang turut dikenali sebagai Kepulauan Falkland, sebagai wilayah Argentina yang kini berada di bawah kawalan Britain.
Beliau turut menuduh Britain menjalankan aktiviti penggerudian minyak yang ‘mencuri wang rakyat Argentina’ dan menggesa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, mengiktiraf kedaulatan Argentina ke atas kepulauan berkenaan serta mengenakan sekatan terhadap Britain selagi penguasaan itu berterusan.
Sementara itu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, menggesa Duta Britain di Israel diusir, selain mendakwa mandat British ke atas tanah Israel sudah berakhir.
Kenyataan keras kedua-dua menteri berkenaan menambah tekanan terhadap hubungan Israel-Britain yang semakin tegang. Ia berlaku ketika ahli politik sayap kanan Israel dilihat cuba meraih sokongan menjelang pilihan raya umum bulan depan.
Argentina baru-baru ini menggesa Britain menyerahkan kepulauan berkenaan kepada Amerika Latin, dalam langkah yang disifatkan serupa dengan tindakan London menyerahkan Hong Kong kepada China pada 1997.
Namun, tindakan Britain untuk mengenakan larangan perdagangan barangan dari penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki menjadi punca utama menteri Israel melontarkan kritikan berkenaan.
Sekatan itu selaras dengan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024 yang menetapkan kerajaan di seluruh dunia tidak boleh membantu Israel mengekalkan pendudukannya di wilayah Palestin.
Ben-Gvir dan Smotrich sebelum ini dikenakan sekatan oleh Britain, Australia, Kanada, New Zealand dan Norway pada 2025 susulan tindakan berulang kali menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki serta kawasan lain.










