Pemandu Grab OKU selesai diambil keterangan selepas 5 jam

Pemandu Grab OKU selesai diambil keterangan selepas 5 jam

ONG Ing Keong, 46, selepas memberi keterangan kepada pihak polis di Bukit Aman hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR :Pemandu e-hailing berstatus orang kurang upaya (OKU) yang didakwa diserang pengiring rombongan kenamaan, selesai dirakam keterangan oleh polis hari ini. 

Ong Ing Keong, 46, bersama peguam daripada Lawyers for Liberty (LFL) Latheefa Koya dan N. Surendran keluar daripada pekarangan  Bukit Aman kira-kira pukul 3.30 petang, selepas lima jam diambil keterangan oleh pegawai dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. 

Peguam, N. Surendran berkata, proses tersebut bagi membantu siasatan membabitkan dua isu iaitu kejadian di sebuah hotel pada 28 Mei lalu serta situasi berlaku ketika di Balai Polis Brickfields, pada hari sama. 

“Dalam situasi pertama, mereka (polis) bertanyakan tentang situasi insiden di lokasi kejadian, pelaku yang terbabit serta apa yang berlaku secara keseluruhan.

“Polis turut merekodkan tentang situasi yang berlaku di balai polis pada petang hari kejadian yang mana ketika Ing Keon, membuat laporan polis pertama dan selepas dia diminta untuk hadir pada malam hari untuk menarik laporan polis yang dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, Ing Keong turut diminta  menjelaskan butiran yang diarahkan oleh pegawai penyiasat kes kepada dirinya ketika di balai terbabit. 

Ketika ditanya identiti pelaku tersebut, Surendran memberitahu, mereka dimaklumkan bahawa individu yang dilaporkan memukul Ing Keong adalah juruiring dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami diberikan maklumat oleh polis bahawa individu yang disyaki memukul saudara Ing Keong adalah anggota PDRM namun tidak mempunyai butiran lanjut tentang individu terbabit.

“Untuk selanjutnya, ada kemungkinan Ing Keong akan dipanggil semula oleh polis selepas siasatan jenayah berhubung kes ini masih lagi berjalan di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Brickfields manakala siasatan tatatertib dilakukan oleh JIPS,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta kerajaan memperhalusi semula aspek penugasan kawalan keselamatan membabitkan pengawal pengiring polis yang ditugaskan mengawasi orang kenamaan.

“Mereka (polis) bukan hanya harus menjaga keselamatan orang kenamaan malah harus mengutamakan keselamatan orang awam dan masyarakat,” katanya.

Jumaat lalu, Razarudin mengesahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes anggota pengiring didakwa memukul pemandu Grab di sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.

Beliau dilaporkan berkata, pegawai-pegawai yang terlibat dalam insiden ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan. 

“Langkah ini diambil secara menyeluruh dan semua pihak terlibat dapat memberikan keterangan mereka. Keutamaan siasatan  untuk memastikan tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka. 

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah,” katanya. 

Minggu lalu, media melaporkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca seorang pemandu e-hailing didakwa diserang pengiring kepada rombongan kenamaan dalam kejadian di sebuah hotel di Brickfields, pada 28 Mei lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan. 

Jelas beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Bagaimanapun, pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN