GrabAssist mudahkan perjalanan penumpang OKU

GrabAssist mudahkan perjalanan penumpang OKU

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Grab memperkenalkan perkhidmatan GrabAssist bagi memudahkan perjalanan penumpang khususnya golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pengguna alat mobiliti peribadi yang memerlukan bantuan serta akses tambahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, GrabAssist diwujudkan bagi memberi kebebasan kepada golongan berkeperluan untuk bergerak dengan lebih mudah dan selesa.

Katanya, inisiatif berkenaan selaras dengan peranan kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dalam usaha memperkasa golongan berkeperluan khas, sekali gus meningkatkan akses mobiliti inklusif dalam negara.

“Saya menggalakkan lebih banyak inisiatif seperti GrabAssist daripada pemain industri dalam usaha kita memartabatkan hak OKU.

“GrabAssist boleh dianggap sebagai hadiah kepada golongan OKU bersempena sambutan Hari OKU Antarabangsa pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Forum Ketidakupayaan ASEAN (ADF) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Nancy berkata, syarikat e-hailing itu telah melatih 100 pemandu bagi membantu penumpang berkeperluan khas sepanjang menggunakan perkhidmatan mereka.

Katanya, latihan termasuk membantu mengangkat individu yang memerlukan serta menyediakan arahan komunikasi dalam kenderaan untuk memudahkan perjalanan.

“Ini suatu pembaharuan dan kita sangat berterima kasih kepada GrabAssist kerana meningkatkan perkhidmatan mereka. Kini, bukan sahaja orang awam boleh menggunakan perkhidmatan ini, tetapi ia juga boleh digunakan oleh golongan yang memerlukan bantuan.

“Buat masa ini, 100 pemandu tersebut beroperasi di Kuala Lumpur dahulu dan insya-Allah ia akan dikembangkan ke negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN