KUANTAN: Kejadian melempar bom petrol di kedai serbaneka KK Mart Cawangan Sungai Isap di sini 30 Mac lalu, dipercayai dilakukan oleh seorang individu sahaja.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, ia dikenalpasti hasil pemeriksaan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan pihaknya kini giat memburu individu terbabit.
“Kita menggunakan kepakaran di Jabatan Forensik untuk mengenalpasti individu berkenaan melalui CCTV yang ada walaupun orang kata kamera tersebut tidak berkualiti.
“Apa yang diperoleh, kita nampak seorang sahaja individu yang terlibat… kita tak nampak kelibat kenderaan yang nampak hanya individu itu sahaja.
“Menerusi CCTV itu, kita mendapati selepas membuat balingan, kelibat suspek itu lari daripada premis berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kempen Pencegahan Jenayah di Bazar Aidilfitri di Dataran Sekilau di sini semalam.
Dalam kejadian pada 30 Mac lalu, sebuah pasar raya KK Super Mart di Sungai Isap di sini mengalami kebakaran kecil akibat perbuatan khianat dibaling bom petrol.
Bagaimanapun kejadian kira-kira pukul 5.14 pagi di pasar raya yang baru dua minggu beroperasi itu dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Wan Mohd. Zahari berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya tampil memberikan kerjasama.
“Diharap ada pihak yang tampil bagi membantu siasatan kes bagi mengelak kejadian sama berulang lagi. Kes disiasat di bawah Sesyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










