BAGHDAD: Pihak berkuasa Iraq menahan 47 pegawai, termasuk beberapa ahli Parlimen, pada Ahad dalam satu operasi membanteras rasuah di negara yang sekian lama dibelenggu masalah penyelewengan, lapor media rasmi.
Perdana Menteri baharu Iraq, Ali al-Zaidi yang baru-baru ini memegang jawatan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), telah membuat dua ikrar utama, iaitu memerangi rasuah dan memastikan hanya negara mempunyai kuasa memegang senjata.
Operasi antirasuah itu dijalankan menjelang lawatan beliau ke Washington yang dijangka berlangsung bulan depan, bagi menarik pelaburan AS dan memperbaharui komitmennya supaya kumpulan bersenjata pro-Iran menyerahkan senjata mereka kepada kerajaan.
Agensi berita Iraq (INA) memetik pegawai kanan sebagai berkata bahawa 47 suspek telah ditahan atas pertuduhan rasuah termasuk ahli Parlimen dan pegawai kerajaan lain, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka merupakan pegawai di Kementerian Minyak.
Operasi penahanan bermula awal Ahad apabila pasukan keselamatan Iraq, terutama unit antikeganasan, menyerbu Zon Hijau yang dikawal ketat di Baghdad dan satu lagi kawasan kejiranan di ibu negara.
Zon Hijau menempatkan Kedutaan AS dan beberapa misi diplomatik lain, selain institusi antarabangsa serta pejabat kerajaan. Ramai pegawai kanan dan ahli politik turut menetap di kawasan itu.
Rakaman video yang dikongsi menerusi saluran Telegram tempatan menunjukkan pasukan keselamatan menggunakan kenderaan berperisai berat di Zon Hijau.
Terdapat juga rakaman yang memaparkan mereka memasuki sebuah kompleks dan dalam satu kejadian, menyerbu sebuah rumah.
Seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP bahawa serbuan itu dilakukan atas kesalahan rasuah.
Namun, ia juga merupakan sebahagian daripada kempen yang lebih besar bagi membanteras pembiayaan kumpulan bersenjata dan penyeludupan dolar AS serta minyak Iran. – AFP










