Dalang utama rangkaian ‘scam’ tumpas di Bangkok - Utusan Malaysia

Dalang utama rangkaian ‘scam’ tumpas di Bangkok

SUSPEK dikenali sebagai Sasaki ditahan di Bangkok. - Polis Thailand
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand berjaya menahan seorang lelaki warga Jepun yang menjadi buruan utama di negara asalnya kerana didakwa mendalangi sindiket penipuan pusat panggilan antarabangsa dan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

Polis pada Sabtu berkata, dalam serbuan di daerah Watthana, suspek yang hanya dikenali sebagai Sasaki, 39, telah ditahan oleh anggota-anggota Biro Imigresen dengan kerjasama pihak berkuasa Jepun.

Sasaki dituduh mengetuai rangkaian penipuan rentas sempadan yang beroperasi dari Poipet, Kemboja yang mana sindiket tersebut telah memperdayakan ramai mangsa di Jepun sehingga mencetuskan kerugian mencecah berbilion yen.

Agensi penguatkuasa undang-undang Jepun mengenal pasti suspek sebagai figura kepimpinan utama yang mengarahkan operasi jenayah tersebut di beberapa buah negara. 

Suspek dikehendaki di bawah waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Nagoya atas pertuduhan menipu.

Penahanan itu merupakan hasil daripada peluasan siasatan oleh pihak berkuasa Jepun terhadap operasi penipuan berpusat di Kemboja yang menyasarkan warga Jepun. 

Hasil risikan berjaya mengesan kedudukan Sasaki yang dilaporkan bersembunyi di Thailand bersama ahli keluarganya.

Operasi khas tersebut adalah sebahagian daripada tindakan tegas di bawah dasar Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul bagi membanteras kumpulan geng pusat panggilan dan jenayah pemerdagangan manusia dari terus bertapak di Thailand.

Susulan itu, Ketua Polis Diraja Thailand, Jeneral Polis Kittharath Punpetch telah mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya Jeneral merangkap Pengarah Pusat Anti-Pemerdagangan Manusia, Jeneral Polis Thatchai Pitaneelaboot untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi antarabangsa bagi menghalang sindiket menggunakan Thailand sebagai pangkalan transit.

Siasatan lanjut oleh pihak Jepun turut mendapati wujudnya kaitan rapat antara rangkaian berkenaan dengan kumpulan penjenayah transnasional yang beroperasi di Kemboja, termasuk penglibatan dalam aktiviti menyeludup dan memaksa individu tertentu untuk bekerja dengan sindiket penipuan terbabit.

Suspek kini sedang menunggu proses ekstradisi untuk dihantar pulang ke Jepun bagi menghadapi tindakan undang-undang selanjutnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN