Kapal terbang tengah sawah jadi tumpuan di Perlis

Kapal terbang tengah sawah jadi tumpuan di Perlis

KAMPUNG Panggau, Tok Kuning mula menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu berikutan kewujudan sebuah kapal terbang lama jenis Fokker 50 yang ditempatkan di tengah bendang di kawasan berkenaan, kelmarin.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kampung Panggau, Tok Kuning di sini mula menjadi tumpuan pelbagai pihak sejak beberapa hari lalu berikutan kewujudan sebuah kapal terbang lama jenis Fokker 50 ditempatkan di tengah bendang di kawasan berkenaan.

Selain penduduk setempat, lokasi yang jaraknya kira-kira 300 meter dari jalan besar itu juga menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negeri ini untuk melihat kapal terbang berkenaan yang difahamkan akan dijadikan sebagai kafe sekali gus bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di negeri ini.

Malah ada dalam kalangan penduduk juga bergurau sesama mereka bahawa Perlis kini sudah mempunyai kapal terbang meskipun tidak mempunyai lapangan terbang di negeri ini.

ORANG ramai bergambar berlatar belakangkan kapal terbang lama di tengah bendang di Kampung Panggau, Tok Kuning, Perlis kelmarin.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang individu yang hanya dikenali sebagai Achik dari KNF Transport berkata, pemilik kapal terbang itu telah memberi kepercayaan kepada syarikat tersebut bagi membawa kapal terbang berkenaan ke Perlis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, proses membawa kapal terbang tersebut dengan menaiki treler baru-baru ini memakan masa 12 jam untuk sampai ke Perlis.

“Lokasi ini mula menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu apabila orang ramai datang khususnya bagi menyaksikan kapal terbang tersebut secara lebih dekat.

“Kita berperanan daripada segi pengangkutan bagi membawa kapal terbang berkenaan dari KLIA dan kemudian dipasang di sini. Kita siap pasang kapal terbang itu dari pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rosnani Nazri,40, berkata, suasana di lokasi kapal terbang berkenaan agak meriah dengan kehadiran orang ramai meskipun laluan untuk masuk ke kawasan tersebut sempit.

Katanya, dengan kewujudan kapal terbang di lokasi berkenaan ia secara tidak langsung dilihat bakal menjadi salah satu lagi tarikan baharu di Perlis selepas ini.

“Perlis tidak ada lapangan terbang dan apabila sebuah kapal terbang ada di sini ia menjadi tarikan kepada orang ramai. Malah, sejak tular baru-baru ini, orang ramai dilihat tidak putus-putus mengunjungi lokasi berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×