PETALING JAYA: Seorang wanita yang sedang mengandung terselamat daripada cubaan bunuh oleh suaminya dalam tragedi tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, lelaki terbabit yang dikenal pasti polis sebagai Hafizul Zarawi, 38, telah melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya, namun satu tersasar dan satu lagi mengenai seorang pengawal peribadi.
Pengawal peribadi itu dikenali sebagai Muhammad Nur Hadith, parah dan kini dilaporkan dirawat di Hospital Cyberjaya. Dia dilaporkan telah ditidurkan akibat pendarahan teruk.
Menurut polis, wanita terbabit dan suaminya, dikatakan mempunyai syarikat agensi pelancongan dan umrah serta mereka dikatakan dalam proses bercerai. Dia berada di KLIA untuk menyambut kepulangan jemaah umrah pagi semalam.
Polis memberitahu, lelaki terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau dengan dua melibatkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan satu kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussien ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, suspek dipercayai menggunakan pistol semi automatik dengan peluru kaliber 9mm.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian telah menemukan tiga kelongsong peluru.
“Kita (polis) yakin dia masih di negara ini dan tidak pergi jauh. Usaha kesan suspek sedang giat dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
“Bagaimanapun, tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Kata Hussein, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Katanya lagi, identiti suspek telah dikenal pasti dan operasi mengesan sedang digiat dilakukan dengan suspek dipercayai telah melarikan diri ke arah utara.
“Kejadian yang berlaku bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan. Keadaan di KLIA adalah terkawal dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dalam satu sidang akhbar memaklumkan, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan mangsa iaitu isterinya pernah membuat dua laporan polis ugutan jenayah iaitu pada 2016 dan 2023.
Katanya, mangsa telah membuat laporan pada 2016 mengikut Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah dan terbaharu pada Disember 2023.
“Hasil laporan tersebut suspek telah ditangkap dan kami menghantar kertas siasatan, namun ada beberapa arahan lain yang kita perlu laksanakan. Mengambil insiden terakhir ini, isteri mengambil keputusan untuk menggaji pengawal peribadi,” katanya.
Dalam insiden semalam katanya, suspek pada mulanya telah melemparkan satu mercun dan mencederakan dua orang awam.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak nekad menghampiri isterinya yang mengambil khidmat dua orang pengawal peribadi dan melepaskan dua das tembakan dalam jarak dekad kira-kira dua ke tiga meter. Satu daripadanya tersasar dan satu lagi mengenai seorang pengawal peribadi.
“Wanita yang merupakan target sebenar insiden ini terselamat. Setelah melepaskan dua das tembakan tersebut, dia telah melarikan diri ke aras dua blok C di mana beliau meletakkan kereta. Daripada pengamatan dan siasatan awal, sememangnya jelas dan dapat disahkan yang suspek mempunyai senjata,” katanya.
Beliau sehubungan itu, meminta suspek tampil menyerah diri di mana-mana balai polis berdekatan secara aman.
Polis juga katanya, turut melancarkan operasi mengesan dan mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di negeri berhampiran dan di sempadan menjejaki suspek yang diklasifikasikan sebagai bersenjata dan berbahaya.
Semasa berita ini ditulis, polis masih memburu suspek dan belum ada tangkapan dilakukan.
Mohd. Shuhaily turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, mengambil kira insiden yang berlaku adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan mana-mana kepentingan awam. – UTUSAN










