Bendung isu pencemaran logam berat di perairan negara - Utusan Malaysia

Bendung isu pencemaran logam berat di perairan negara

PEGAWAI dan kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menaiki bot dari Jeti Pengkalan Nelayan, Kampung Telok, Pasir Panjang, Port Dickson bagi mengambil sampel baharu bagi dilaksanakan analisis makmal susulan kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan dan pihak yang berkaitan perlu bertindak tegas dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang mengambil remeh isu pencemaran logam berat di kawasan perairan negara ini.

Aktivis alam sekitar, Noor Fadzli Shah berkata, pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan di sepanjang Selat Melaka.

Jelasnya, tidak ramai yang sedar kesan pencemaran logam berat kepada sumber makanan laut dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia kerana termasuk kesan dalam tempoh jangka masa panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesan pencemaran logam berat terhadap manusia mengambil masa yang lama untuk dikesan sebab ia melalui proses biookomulasi di mana kita makan sedikit daripada makanan itu yang dicemari arsenik atau merkuri (logam ini tidak diperlukan oleh badan) setiap hari dan akhirnya akan menyebabkan kita mendapat pelbagai penyakit.

“Keadaan laut Selat Melaka yang cetek dan peningkatan sektor perindustrian di kawasan pelabuhan dan muara sungai menjadikan ia penyumbang utama pencemaran tersebut. Di kawasan muara sungai, arus sungai pula adalah lebih lemah dan menyebabkan logam-logam berat ini mudah terdampar dan menjadi mendapan di sungai dalam jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas mengenai kejadian lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal yang berlaku di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid dalam kenyataan memaklumkan berkata, kejadian keracunan tersebut mula dikesan pada 1 April apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

Menurutnya, sebanyak dua kes telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes telah dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Noor Fadzli berkata, keadaan perairan yang sempit dan cetek, juga telah menjadikan kadar pemendapan bahan logam berat itu tinggi berbanding di Laut China Selatan yang mempunyai kadar isi padu air laut yang lebih banyak dan ini akan mencairkan bahan logam tersebut.

Selain itu, katanya, pencemaran akibat logam berat, mickroplastik juga kini adalah ancaman kepada laut dan seterusnya mengakibatkan rantaian makanan dan hidupan laut menjadi taruhan dan mengganggu gugat kesihatan manusia yang memakan makanan laut saban hari.

“Ekonomi serta pendapatan yang bergantung harap kepada sumber hidupan laut sebagai sumber pendapatan akan terus terjejas. Mungkin denda yang lebih tinggi atau hukuman yang lebih tegas boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini