SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah melakukan siasatan dan mengambil sampel air susulan aduan penduduk di Kampung Chuah, Port Dickson berhubung kejadian sungai di kampung itu yang tercemar dan mengeluarkan bau busuk.
Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan petang semalam dan pasukan penyiasat mendapati memang terdapat lapisan putih kehijau-hijauan dan terapung di atas permukaan sungai di kawasan Pintu Air Chuah A.
Kata beliau, bacaan insitu menggunakan alat multi probe meter telah diambil dan mendapati bacaan oksigen terlarut (DO) berada dalam keadaan normal dan tiada indikasi kekurangan oksigen terlarut di dalam air sungai.
Tambahnya, pihak JAS telah meneruskan siasatan dan hasil penyelusuran terusan telah ke kawasan yang disyaki menjadi punca pencemaran iaitu di Kampung India, Port Dickson.
“Daripada pemerhatian, keadan terusan berbau busuk dan terdapat lapisan putih yang terapung-apung di atas permukaan sungai. Air kelihatan tidak mengalir dan berwarna hitam.
“Terdapat juga satu saliran dari kampung tersebut yang menjadi punca pembuangan air sisa dari kandang-kandang lembu kepunyaan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, JAS telah mengambil bacaan insitu dan hasil bacaan DO adalah sedikit rendah dan boleh mendatangkan stres kepada hidupan akuatik.
“Satu sampel pemantauan juga telah diambil untuk menilai komposisi air sungai bagi menentukan sama ada sesuai untuk kehidupan akuatik atau telah tercemar,” katanya lagi.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Kampung Chuah, Port Dickson yang meminta pihak berwajib khususnya JAS untuk menyiasat dan mengambil tindakan berhubung kejadian sungai di kampung itu yang tercemar dan mengeluarkan bau busuk.
Pengerusi Tokong Kampung Chuah, Lo Chai Ann berkata, kejadian disedari penduduk sejak empat hari lalu selepas melihat air sungai itu menjadi kehijau-hijauan malah berbau yang tidak menyenangkan sehingga membawa rasa tidak selesa penduduk.
Katanya, penduduk juga tidak mengetahui dari mana punca pencemaran itu bermula selain bimbang sama ada kejadian itu boleh mengancam kesihatan penduduk ataupun tidak.-UTUSAN.










