PORT DICKSON: Penduduk di Kampung Chuah di sini meminta pihak berwajib khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat dan mengambil tindakan berhubung kejadian sungai di kampung itu yang tercemar dan mengeluarkan bau busuk.
Pengerusi Tokong Kampung Chuah, Lo Chai Ann berkata, kejadian disedari penduduk sejak empat hari lalu selepas melihat air sungai itu menjadi kehijau-hijauan malah berbau yang tidak menyenangkan sehingga membawa rasa tidak selesa penduduk.
Katanya, penduduk juga tidak mengetahui dari mana punca pencemaran itu bermula selain bimbang sama ada kejadian itu boleh mengancam kesihatan penduduk ataupun tidak.
“Kami menyedari pencemaran ini apabila air sungai bertukar warna kepada hijau tidak seperti biasa, bau juga busuk. Hari ini jua terdapat kesan air berwarna putih. Mungkin kejadian berpunca dari Bukit Pelandok dan mengalir ke kawasan ini.
“Lebih membimbangkan, kawasan ini berhampiran laut dan berlakunya air pasang, kunci air di sini akan dibuka dan boleh menyebabkan pencemaran ini mengalir ke laut.
“Jika tidak diambil tindakan segera sudah tentu ia mendatangkan pencemaran dan menjejaskan pendapatan para nelayan yang mencari hasil laut di sekitar kawasan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye ketika dihubungi memberitahu, selepas menerima aduan dari penduduk, beliau telah membawa perkara itu kepada pengetahuan pihak JAS.
“Pihak JAS telah hadir dan mengambil sampel air untuk dibuat ujian, saya dimaklumkan hasil ujian awal mendapati tiada sebarang unsur pencemaran namun sampel tersebut akan dihantar ke makmal untuk ujian lebih teliti.
“Buat masa ini saya masih menunggu laporan tersebut mengenai kejadian di situ namun lebih penting JAS perlu maklumkan apa isi kandungan air yang dilihat tercemar itu dan mencari punca kejadian pencemaran tersebut,” katanya lagi. – UTUSAN










