KUALA LUMPUR: Saman fitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap Datuk Lokman Noor Adam berhubung isu vaksin Covid-19, selesai di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bersetuju membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan.
Peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili bekas Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan, kedua-dua pihak sepakat menyelesaikan kes saman fitnah tersebut serta bersetuju terhadap terma-terma penyelesaiannya.
Hakim Dr. Johan Lee Kien How @ Mohd. Johan kemudian merekodkan draf penghakiman persetujuan selepas plaintif (Khairy) dan defendan sepakat untuk tidak meneruskan kes itu melalui perbicaraan.
Antara terma-terma penyelesaian itu termasuk Lokman memadam tujuh hantaran (posting) melalui video dan gambar yang sebelum ini dimuat naik dalam laman sosial, dua tahun lalu.
Ahli MKT UMNO itu turut bersetuju untuk tidak menerbitkan semula hantaran berkenaan selain menyiarkan pernyataan maaf melalui laman Facebook dan YouTube.
“Tahniah, kita telah selesai merekodkan penghakiman persetujuan. Terima kasih dan saya hargai usaha ini (menyelesaikan kes). Tiada perintah terhadap kos,” ujar hakim berkenaan pada hari pertama perbicaraan yang sepatutnya didengar selama tiga hari.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO ketika ditemui pihak media sejurus prosiding berakhir turut melahirkan rasa puas hati kerana kes itu selesai.
Beliau berterima kasih pada hakim dan berpuas hati Lokman bersetuju memohon maaf dan membayar sejumlah pampasan yang tidak didedahkan.
Sementara itu, peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili defendan memberitahu pihak media di luar mahkamah bahawa anak guamnya bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf dalam tempoh 30 hari.
Khairy, 48, selaku plaintif memfailkan dua saman secara berasingan pada 25 Januari 2022 dengan menamakan Lokman, 51, dan Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, 43, sebagai defendan.
Prosiding hari ini hanya melibatkan kes saman terhadap Lokman. Beliau bagaimanapun tidak hadir.
Khairy memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.
Khairy mendakwa Mohd. Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021, 6 dan 10 Januari 2022.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.
Plaintif juga mendakwa penerbitan fitnah itu bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terlibat dalam perjuangan menentang Covid-19.










