JERANTUT: Kira-kira 400 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua menyumbangkan RM2 setiap seorang untuk membantu 17 asnaf dan anak yatim sekolah itu menyambut Aidilfitri.
Guru Besar SK Felda Kota Gelanggi Dua, Mat Romli Norman berkata, sumbangan itu bagi mengisi Tabung Infaq, manakala selebihnya dibantu oleh guru serta kakitangan pengurusan pejabat sekolah tersebut.
“Sumbangan wang tunai masing-masing RM31 kepada murid asnaf dan anak yatim di bawah pengurusan Panitia Pendidikan Islam bersempena program Khatam al-Quran sebelum sekolah mula bercuti menyambut hari raya minggu depan.
“Sumbangan ini diharap dapat meringankan murid asnaf ini membuat persiapan sekali gus menceriakan mereka bersama keluarga memeriahkan sambutan Aidilfitri,” katanya di SK Felda Kota Gelanggi Dua di sini.
Menurut Mat Norman, usaha pihak sekolah menerusi Panitia Pendidikan Islam bertujuan menitip nilai kasih sayang serta amalan bantu-membantu sesama rakan mereka yang kurang bernasib baik sempena bulan Ramadan dan hari raya ini.
Sementara itu, seorang anak yatim, Muhammad Ijlal Hafeez, 11, berkata, dia teruja serta berterima kasih kepada rakan, guru dan kakitangan sekolah kerana menyumbangkan RM2 seorang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
“Wang sumbangan ini saya akan simpan untuk berbelanja keperluan persekolahan selepas hari raya ini kerana ibu cuma bekerja sebagai pembantu kedai hasil pendapatannya kecil,” katanya.
Rakannya, Nur Aina Aqilah Safian, 12, berkata, setiap tahun dia menerima sumbangan daripada Tabung Infaq menjelang hari raya dan akan digunakan untuk membeli pakaian baharu.
Ujarnya, ibunya tidak mampu kerana mempunyai tanggungan ramai di samping wang pendapatannya hanya mencukupi untuk berbelanja barang keperluan dapur dan bahan membuat kuih-muih. – UTUSAN










