1,108 laporan polis palsu dibuat tahun lalu

1,108 laporan polis palsu dibuat tahun lalu

Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 1,108 laporan palsu sepanjang tahun lalu sekali gus membuang masa dan tenaga pegawai dan anggota polis.

Ini kerana pegawai penyiasat biasanya mengambil masa kira-kira tiga jam bagi meneliti, mengetahui dan menentukan sama ada kes yang dilaporkan itu berlaku atau rekaan untuk kepentingan peribadi.

Antara kes yang banyak dilaporkan tetapi didapati palsu seperti kehilangan kad pengenalan, panggilan bom, kejadian ugut, ragut dan sebagainya.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, selain masa dan tenaga, bebanan tugas pegawai penyiasat akan terganggu khususnya fokus siasatan kerana memerlukan purata dua hingga tiga jam melakukan siasatan di lokasi kejadian bagi setiap laporan yang diterima.

Menurut beliau, setiap laporan yang menjurus kepada kes diterima akan melibatkan siasatan di tempat kejadian sekali gus akan mengganggu kes-kes lain yang sedang disiasat.

“Selain itu, polis juga terpaksa menanggung kerugian dari segi kos perbelanjaan terhadap siasatan laporan palsu.

“Ini kerana setiap kes disiasat memerlukan gabungan aset-aset polis termasuk keanggotaan yang menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Razarudin, sebanyak 1,108 kes laporan palsu direkodkan sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tertinggi kes direkodkan adalah di Kuala Lumpur (317) diikuti Johor (231); Selangor (218); Pulau Pinang (61) dan Perak (58).

“Sarawak mencatatkan 48 kes, Negeri Sembilan (47); Kedah (31); Melaka (30); Pahang dan Sabah masing-masing 21 kes; Kelantan (14), Terengganu (10) dan Perlis (1),” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pembaziran aset berlaku apabila pasukan forensik memerlukan kelengkapan aset mencukupi untuk dibawa ke lokasi kejadian.

Jelasnya, apabila sesuatu kes yang dilaporkan itu bersifat palsu, secara tidak langsung telah membazirkan tumpuan siasatan serta penggunaan aset seperti kos bahan bakar dan aset digerakkan.

Ujarnya, dari sudut kos penggunaan bahan bakar kenderaan ke lokasi turut diambil kira apabila perlu menggerakkan pegawai penyiasat, kereta peronda polis, unit rondaan bermotosikal dan kenderaan unit forensik.

“Pembaziran tenaga (anggota) secara tidak langsung akan berlaku apabila seorang pegawai penyiasat, dua jurugambar, detektif, serta pasukan forensik yang bergerak secara berkumpulan (seorang pegawai dan lima anggota).

“Perkara ini sukar dilihat oleh masyarakat, namun ia ditanggung sepenuhnya oleh PDRM. Hal ini juga akan memberikan impak kepada kes-kes siasatan yang sedang dikendalikan oleh pegawai penyiasat apabila perlu menyiasat laporan palsu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×