KUANTAN: Keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig bukti perjuangan Sekretariat Komuniti Gig Malaysia selama ini tidak sia-sia sebaliknya diambil perhatian serius oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya sudah lama memperjuangkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) atau badan kawal selia bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan 1.12 juta penggiat industri gig di seluruh negara.
“Terima kasih kita ucapkan kepada Perdana Menteri kerana memberi perhatian serius kepada penubuhan suruhanjaya terbabit dan merealisasikan harapan pekerja gig.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang begitu komited membela nasib pekerja p-hailing dan e-hailing termasuk dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.
“Kita harap menerusi penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig akan menyelesaikan isu-isu membabitkan pekerja dalam industri terbabit. Ini kerana mereka ini yang majoritinya anak muda bekerja sendiri dan tiada majikan,” katanya di sini hari ini.
Ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar dilaporkan sebagai berkata, Suruhanjaya Pekerja Gig akan ditubuhkan bagi melindungi hak pekerja gig yang kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat, terutama dalam kalangan anak muda.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, keutamaan suruhanjaya itu untuk memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya.
“Langkah ini diambil kerana majoriti besar belia bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig. Namun sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial,” kata Anwar.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig membuktikan komitmen kerajaan membela nasib penggiat ekonomi gig, khususnya dari aspek pendapatan dan kebajikan.
“Selama beberapa tahun kegiatan ekonomi gig berjalan, namun nasib mereka tidak diambil peduli, terutama kerana syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap penggiat gig sebagai pekerja dan diri mereka sebagai majikan,” katanya. – UTUSAN










