MyGiG sokong pengecualian algoritma berasaskan agama: Kebajikan, pegangan pekerja gig wajar dilindungi - Utusan Malaysia

MyGiG sokong pengecualian algoritma berasaskan agama: Kebajikan, pegangan pekerja gig wajar dilindungi

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN (duduk, tengah)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) menyambut baik dan menyokong penuh syor dikemukakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu penolakan pesanan barangan tidak halal oleh penghantar p-hailing beragama Islam.

Presiden MyGiG, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ekonomi gig di negara ini tidak seharusnya berkembang pesat daripada sudut teknologi semata-mata, tetapi perlu dibina atas prinsip keadilan sosial dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya.

“Penghantar p-hailing merupakan tulang belakang kepada ekosistem perkhidmatan digital negara. Penetapan sistem algoritma atau kadar penerimaan pesanan yang menghukum atau memberi implikasi ekonomi kepada penghantar muslim hanya kerana mempertahankan pegangan agama adalah satu kelemahan sistemik yang perlu diatasi segera.

“Teknologi sedia ada sepatutnya memudahkan agihan tugasan, bukannya meletakkan pekerja dalam dilema antara tuntutan agama dan mata pencarian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Sharkar berkata, MyGiG berpandangan, penyedia platform p-hailing disaran supaya mengemaskini tetapan aplikasi dengan mewujudkan pilihan pengecualian pesanan barangan tidak halal khusus untuk penghantar muslim tanpa mengusik penilaian prestasi atau kelayakan insentif mereka.

“MyGiG menyokong penuh penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk duduk bersama wakil platform serta pihak persatuan pekerja gig bagi merangka garis panduan yang komprehensif.

“Kita meminta KESUMA memastikan perlindungan terhadap diskriminasi sistem/algoritma diberi penekanan khusus di bawah pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872], demi menjamin keadilan dari segi undang-undang,” katanya.

Menurutnya, majlis itu juga bersetuju dengan cadangan pembangunan standard nasional berasaskan Standard Halal Logistik MS2400 agar wujud keseragaman polisi di seluruh platform perkhidmatan penghantaran.

“​MyGiG percaya penyelesaian isu ini tidak akan menjejaskan hak pengguna lain untuk mendapatkan perkhidmatan. Dengan mekanisme pengagihan pesanan yang telus dan adil, hak pengguna kekal terjamin manakala integriti rezeki serta kebajikan penghantar muslim dipelihara.

“Pihak MyGiG bersedia menjadi jambatan perantara antara pihak kerajaan, penyedia platform dan rakan penghantar bagi memastikan ekosistem ekonomi gig negara terus mampan, harmoni serta inklusif,” katanya.

Semalam, PPIM dalam kenyataannya menegaskan bahawa algoritma tidak boleh menghukum pekerja kerana pegangan agama dan menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama dalam sistem masing-masing.

Melalui mekanisme tersebut, penghantar muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×