Penyewa rumah pangsa kerajaan ambil untung atas angin - Utusan Malaysia

Penyewa rumah pangsa kerajaan ambil untung atas angin

J. ARUL Kumar ketika menyertai Operasi Pemutihan Rumah-Rumah Pangsa Kerajaan Negeri Sembilan di Rumah Pangsa Templer, Jalan Tun Dr. Ismail, Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Setelah diberi peluang untuk menduduki unit rumah dengan kadar sewa yang rendah menerusi Skim Penyewaan Rumah-Rumah Pangsa Kerajaan Negeri Sembilan namun ada pula penyewa yang mengambil untung ‘atas angin’ menyewakannya pula kepada pihak lain.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar yang turut mengambil contoh terdapat 25 unit rumah di Rumah Pangsa Templer Jalan Tun Dr.  Ismail di sini dikesan telah disewakan kepada pihak ketiga oleh penyewa asalnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak teragak-agak akan menarik balik unit rumah pangsa kerajaan daripada penyewa asal yang berdaftar jika didapati mereka unit berkenaan kepada orang lain dan melanggar syarat dalam skim sewaan tersebut.

“Menerusi Operasi Pemutihan Rumah-Rumah Pangsa Kerajaan Negeri Sembilan oleh Unit Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang dijalankan di Rumah Pangsa Templer, sebanyak 26 unit rumah dikesan telah disewakan manakala sebanyak 55 unit rumah pula dikesan telah diduduki oleh ahli keluarga atau saudara mara dan bukannya diduduki oleh penyewa asal manakala 48 unit masih dihuni penyewa asal.

“Operasi pemutihan yang dilaksanakan adalah untuk bertujuan menyemak balik status terkini keluarga yang menyewa rumah itu daripada segi pendapatan, status perkahwinan dan pemilikan rumah sendiri. 

“Jika mereka masih tidak mematuhi syarat atau dalam tempoh penyewaan atau keluarga tersebut telah berubah kedudukan pendapatan dan telah memiliki rumah sendiri maka mereka tidak layak untuk menyewa rumah tersebut daripada kerajaan dan kerajaan negeri akan menarik balik unit tersebut,” katanya lagi.

Beliau menambah, operasi itu juga dilakukan selepas Unit Perumahan menerima aduan bahawa terdapat rumah di skim sewaan tersebut disewakan kepada pihak ketiga malah ada yang turut dijadikan sebagai tempat singgahan serta dijadikan stor dan juga tidak diduduki. 

“Menerusi operasi ini kita akan mengenalpasti isu tersebut dan jika berlaku mana-mana keadaan yang tidak dibenarkan maka Unit Perumahan akan memberikan notis dan akan menarik balik unit tersebut. Begitu juga tindakan segera akan diambil jika disewakan pula kepada warga asing,” katanya.

Arul Kumar berkata, selain di Rumah Pangsa Templer Jalan Tun Dr. Ismail, terdapat beberapa lagi rumah pangsa yang terlibat dalam Skim Penyewaan Rumah-Rumah Pangsa Kerajaan Negeri Sembilan yang telah disediakan seperti Rumah Pangsa Sentosa Kuala Pilah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Taman Jasmin dan Rumah Pangsa Senawang 1. 

“Sewaan bulanan yang dikenakan adalah sangat rendah, iaitu ada yang RM25 sebulan, ada RM 40 sebulan dan RM50 sebulan. Tujuan penyediaan rumah-rumah sewaan oleh kerajaan negeri adalah untuk menyewakan kepada keluarga yang berpendapatan rendah atau miskin dan keluarga yang tidak memiliki rumah.

“Setakat ini, berdasarkan siasatan kesemua unit yang nyatakan, mereka membayar sewa dengan teratur dan tidak ada tunggakan. Walaupun mereka bayar sewaan dengan teratur dan tidak ada tunggakan tetapi sekiranya tidak menepati syarat maka tindakan diambil juga,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×