KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan aktiviti penyeludupan masuk mercun dari Thailand semakin berkurangan sejak 1 Ramadan lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Zaki Harun berkata pengurangan aktiviti tersebut susulan sebuah kilang membuat barangan di Tak Bai, Thailand meletup baru-baru ini.
“Kita tidak teragak-agak untuk menahan individu yang terbabit dengan kegiatan menjual mercun dan bunga api tanpa permit dah dari polis.
“Tindakan akan terus diambil sejurus menerima maklumat daripada orang awam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Kelantan dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Terdahulu Muhamad Zaki menyaksikan serah tugas antara Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Zamri Mohd.Rowi daripada pemangku jawatan tersebut, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah.
Pada majlis sama, Muhamad Zaki turut menyaksikan serah terima tugas melibatkan, Ketua Cawangan Khas Kelantan, Senior Asisten Komisioner Ahmad Norisham Maarus daripada Asisten Komisioner Nor Azmi Che Musa.
Muhamad Zaki memberitahu, setakat ini pihaknya sudah meluluskan sebanyak 159 daripada 267 permohonan permit untuk menjual bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, daripada jumlah itu, satu permohonan ditolak manakala selebihnya dalam proses untuk memperoleh kelulusan mengikut syarat yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pasukannya telah melakukan serbuan di Pangkalan Haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah di Pasir Mas pada minggu lalu sebelum merampas satu guni yang mengandungi 11,800 biji mercun bola.










