Peniaga tidak setuju penyusunan semula Pasar Payang

Peniaga tidak setuju penyusunan semula Pasar Payang

BANGUNAN baharu Pasar Payang, Kuala Terengganu yang telah siap dibina untuk keselesaan peniaga dan pengunjung. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu menyuarakan rasa terkilan dengan keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang membuat penyusunan semula peniaga Pasar Payang tanpa menghiraukan hasrat sebenar mereka.

Pengerusinya, Zakaria Yusof berkata, penyusunan semula peniaga di Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 dikhuatiri akan menjejaskan kedatangan pengunjung dan operasi perniagaan mereka kerana diletakkan berasingan.

Menurutnya, Pasar Payang 1 yang baru siap dibina semula akan dikhususkan sebagai pusat jualan batik, kedai emas, cenderamata, kraftangan dan pasar seni.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, menerusi penyusunan semula itu, Pasar Payang 2 (bangunan sekarang) pula dikhususkan sebagai pusat jualan keropok, kuih-muih, pasar basah dan tempat makan sahaja.

“Sejak berpuluh tahun dulu, premis perniagaan kami tidak pernah diletakkan berasingan kerana semua barangan jualan yang ada saling melengkapi dan memenuhi kehendak pelanggan.

“Penyusunan semula nanti akan menjadi janggal kerana tiada lagi identiti Pasar Payang yang mengumpulkan semua makanan dan produk warisan budaya Terengganu di satu tempat seperti sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Seorang lagi peniaga, Rakiah Abdullah, 62, pula berkata, semua peniaga Pasar Payang menuntut MBKT menunaikan janji kepada mereka seperti yang ditawarkan pada peringkat permulaan projek pembangunan semula pasar yang berusia lebih 50 tahun itu.

“Kami dijanjikan untuk berniaga di bangunan sementara (Pasar Payang 2) dan akan dipindahkan semula ke Pasar Payang 1 apabila ia siap sepenuhnya.

“Tapi malangnya, situasi itu tidak terjadi, malah kami diasingkan pula untuk berniaga mengikut kategori tertentu yang tidak mencerminkan lagi identiti sebenar Pasar Payang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini