SEREMBAN: Seorang peniaga ayam di Sikamat di sini mengambil peluang ketibaan bulan Ramadan dengan memberikan sumbangan sebanyak 50 ekor ayam segar jualannya kepada golongan kurang berkemampuan di sekitar daerah ini.
Peniaga ayam segar itu, Muhammad Fezroy Mohd. Rafid, 35, berkata, sumbangan yang diberikan itu merupakan lazim dilakukannya sejak empat tahun lalu termasuk apabila tibanya sambutan Aidilfitri.
“Saya memberi sedekah ayam ini bermula hari ini sehingga esok, 50 ekor ayam kesemuanya yang bertujuan membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bagi menyambut bulan Ramadan.
“Sumbangan ini selain datang daripada saya sendiri ia juga hasil sumbangan pihak luar termasuk daripada seorang dermawan yang setiap kali tibanya bulan Ramadan akan memberikan sedekah ayam melalui saya,” katanya ketika ditemui di kedai jualannya yang terletak di Taman Coral Height, Sikamat di sini.
Muhammad Fezroy dalam pada itu memberitahu, sejak dia menguar-uarkan perkara tersebut menerusi media sosial, ramai yang menyatakan mahu menerima sumbangan tersebut.
“Ramai yang bertanyakan sumbangan ayam ini jadi saya sejak awal sudah meletakkan beberapa syarat supaya mereka yang menerima ini benar-benar memerlukan.
“Saya juga ada penerima yang memang sebelum ini menerima sumbangan ini, ada juga penerima baharu yang datang dari sekitar kawasan Sikamat dan juga Senawang, mereka datang sendiri ke sini ataupun saya pergi ke rumah mereka.
“Lagipun yang disedekah ini bukanlah banyak, hanya seekor untuk satu keluarga sahaja dan saya harap ia dapat meringankan sedikit perbelanjaan mereka sempena Ramadan ini,” katanya lagi yang memberitahu turut bersedekah antara dua ke lima ekor ayam pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini.
Sementara itu, Muhammad Fezroy menceritakan, dia mula menyimpan hasrat untuk memberikan sedekah selepas didatangi seorang wanita bersama dua orang anak yang meminta bahagian hati dan pedal ayam daripadanya.
“Ada bahagian hati, pedal dan kaki ayam yang pelanggan tidak mahu memang saya beri percuma sahaja. Kira-kira lima tahun lepas, selepas saya habis berniaga, ada seorang wanita dan dua orang anaknya datang ke kedai yang bertanyakan harga pedal dan hati ayam.
“Ketika itu ada dua bakul bahagian ayam itu, saya memberitahu ia percuma sahaja, kebiasaannya orang mengambil satu atau dua plastik sahaja namun wanita ambil kesemua dua bakul ayam itu.
“Saya fikirkan untuk tujuan berniaga rupanya dia memberitahu tidak mempunyai makanan lain di rumah, untuk makan dua biji telur pun terpaksa meminta ihsan jiran, di situ saya terdetik untuk mulakan sedekah dan sumbangan ini,” katanya lagi.-UTUSAN.










