Penggunaan bas elektrik diperkenalkan dalam perkhidmatan MyBas di N. Sembilan - Utusan Malaysia

Penggunaan bas elektrik diperkenalkan dalam perkhidmatan MyBas di N. Sembilan

SEBANYAK 90 buah bas baharu termasuk 10 buah bas elektrik akan disediakan dalam perkhidmatan MyBas di Negeri Sembilan bermula bulan Julai ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 90 bas baharu bagi perkhidmatan MyBas di Negeri Sembilan akan disediakan termasuk sekurang-kurangnya pengenalan lapan sehingga 10 bas elektrik selepas lantikan operator baharu dibuat. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri,  J.Arul Kumar berkata, lantikan operator baharu itu dibuat untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggantikan operator yang telah tamat kontrak. 

“Jadi dengan lantikan itu, akan terdapat 90 bas baharu dan sebahagiannya membabitkan sejumlah lapan hingga 10 bas elektrik akan diperkenalkan sebagai permulaan buat pertama kalinya di Seremban. 

“Penggunaan pengangkutan bas elektrik ini sejajar dengan galakkan daripada kerajaan Negeri bagi mengurangkan kos bahan bakar selain membantu menggalakkan pengetahuan penduduk mengenai kelestarian alam,” katanya ketika dihubungi. 

Arul Kumar berkata, setiap kontrak yang diperbaharui perlu disediakan bas baharu dan Kementerian Pengangkutan memberi tempoh peralihan dari 1 April hingga 30 Jun 2024 untuk penukaran bas baharu terbabit. 

“Bermula bulan Julai dan Ogos 2024, bas-bas baharu tersebut akan mula diperkenalkan dalam perkhidmatan MyBas Seremban. Ini termasuk bas panjang untuk laluan utama, bas sederhana dan bas pendek. 

“Daripada segi reka bentuk dan imej, MyBas Seremban juga bakal mendapat wajah baharu yang lebih menarik. Kemudahan- kemudahan lain adalah seperti perhentian bas dan laluan pejalan kaki juga akan dinaik taraf mengikut fasa berdasarkan keperluan,” katanya. 

Katanya lagi, laluan sebelum ini akan kekal dan tiada perubahan, begitu juga daripada segi, kekerapan bas dan kemudahan pas bulanan. 

“Bagaimanapun, di pihak kerajaan negeri, kani juga akan melihat sekiranya terdapat laluan yang kurangnya kekerapan penumpang, kami akan buat permohonan penukaran laluan terbabit sebelum diusulkan kepada kementerian untuk dipertimbangkan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN