SEREMBAN: Kelantangan Pergerakan Pemuda UMNO lantang bersuara ketika ini bukanlah mahu menjadi ‘juara’ namun sebaliknya bagi mempertahan serta memperbetulkan apa sahaja isu sensitif yang timbul terutamanya membabitkan isu kaum, agama dan raja (3R) dan juga yang menyentuh hati masyarakat Islam.
Ini kerana kata Ketuanya, Dr. Muhammad Akmal Saleh, pihaknya tidak boleh berkompromi kerana menjadi prinsip UMNO untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Kami sebenarnya pertahankan apa sahaja isu sensitif yang timbul, bukan kami yang memulakan. Kami juga bukan mahu gaduh, tetapi mahu perbetulkan.
“Pemuda UMNO konsisten membawa suara rakyat dan bukannya ingin menjadi juara. Bagi saya ia bagaimana kami memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya mempermainkan isu 3R tersebut.
“Cukup-cukuplah banyak kali sudah isu sebegini berlaku, buat salah sahaja minta maaf dan apabila kami (Pemuda UMNO) diam akhirnya orang akan sewenang-wenangnya membawa isu 3R ini.
“Jadi kami bertegas dan lantang bersuara sebagai mesej jelas untuk beri pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak mahu isu ini berulang kembali,” katanya ketika ditemui selepas majlis Berbuka Puasa Pemuda UMNO Negeri Sembilan di sini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Islam sudah cukup bertenang selama ini dalam berdepan isu-isu berkaitan.
“Namun kami (Pemuda UMNO) tidak pernah menyeru berhimpun dan kami kekal tenang dan hanya tunjukkan pada kuasa membeli,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, meskipun berdepan dengan ugutan dan cacian daripada sesetengah pihak, namun ia tidak mematahkan semangat Pemuda UMNO untuk terus bersuara.
“Kami bukannya mahu mengenakan mereka tetapi sebagai pengajaran dan sekiranya tindakan tegas tidak diambil, percayalah orang tidak akan hormat lagi perpaduan kaum yang ada di negara ini dan akan ada sahaja mempertikaikan itu dan ini,” katanya lagi.-UTUSAN.










