KANGAR: Dianggarkan 45 tan metrik lebihan makanan di bazar Ramadan seluruh negara dapat dikumpul yang mampu memberi manfaat kepada 70,000 orang memerlukannya.
Sasaran itu membabitkan kutipan di 100 bazar Ramadan menerusi projek MYSaveFood Ramadan dikelolakan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, disokong penuh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Projek tersebut turut mendapat kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pelbagai lagi rakan strategik lain dengan anggaran nilai lebihan makanan diselamatkan kira-kira RM400,000.
Sebagai rekod, sejak 2017 sehingga 2023, sebanyak 66,000 kilogram atau 66 tan metrik lebihan makanan diselamatkan di bazar Ramadan membabitkan 102,194 hidangan.
Tahun lalu sahaja, sebanyak 25 tan metrik makanan dan minuman diselamatkan membabitkan anggaran nilai sebanyak RM281,429.
Menerusi projek bagi mengelak pembaziran makanan itu, peniaga memberi kerjasama dengan menyalurkan lebihan makanan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah MYSaveFood Ramadan 2024, Mohammad Harith Mohd. Tarik berkata, setakat kelmarin, sebanyak 1,831.95 kilogram lebihan makanan dikumpul.
Katanya, makanan dan minuman tersebut diagihkan kepada golongan memerlukan, penduduk terdekat khususnya di program perumahan rakyat (PPR) serta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan kolej.
Menurutnya, melihat kepada jumlah kutipan semasa itu, pihaknya menyasarkan sebanyak 45,000 kilogram lebihan makanan dapat dikumpul sepanjang Ramadan ini.
“Dianggarkan 2,000 sukarelawan terlibat dalam projek sepanjang bulan Ramadan ini. Pada tahun ini, kita jangka mengumpul lebihan makanan di 100 bazar Ramadan seluruh negara berbanding tahun lalu sekitar 55 bazar.
“Lebihan makanan bergantung kepada kapasiti bazar dan cuaca. Jika purata saiz bazar sederhana dan cuaca baik, kira-kira 100 kilogram makanan boleh dikutip.
“Jika hujan, kutipan lebihan makanan boleh mencecah sehingga tiga ke empat kali ganda. Jika sasaran 45 tan metrik dikutip, ia bakal memberi manfaat kepada sekitar 70,000 penerima dengan nilai kira-kira RM400,000, iaitumengambil kira 650 gram setiap hidangan,” katanya.
Beliau berkata, antara jenis makanan yang dikumpul adalah nasi berlauk, kuih-muih, makanan bergoreng dan berkuah.
“Kita menerima makanan daripada pihak peniaga dalam bentuk pembungkusan yang kemas dan bersih sebelum diagihkan,” ujarnya.
MYSaveFoodRamadan merupakan satu inisiatif pengurusan sisa makanan di bazar Ramadan secara berstrategi melalui usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak dijual.
Lazimnya, mereka akan memaklumkan terlebih dahulu kepada peniaga dan mengingatkan kembali sebelum Marghrib bagi kutipan selain peniaga menghantar sendiri makanan ke khemah MySaveFood yang disediakan. – UTUSAN










