MPP universiti awam, swasta terima peruntukan RM20,000 - Utusan Malaysia

MPP universiti awam, swasta terima peruntukan RM20,000

DR. ZAMBRY Abd. Kadir ketika menyertai sesi dialog bersama pemimpin mahasiwa pada program Karisma di AKEPT, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 20 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) umiversiti awam serta tujuh MPP institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara masing-masing bakal menerima peruntukan sebanyak RM20,000.

Perkara berkenaan diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kepada semua 95 orang pemimpin MPP yang menyertai Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (Karisma) yang berlangsung selama tiga hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini.

Menurut Zambry, program berkenaan amat penting dalam usaha kementerian memberi anjakan paradigma kepada mahasiswa supaya dapat membuat persiapan sebagai pemimpin masa kini dan juga masa hadapan.

“Pihak kementerian dalam rangka program yang bukan hanya bersifat nasional tetapi juga bersifat antarabangsa buat barisan pemimpin MPP ini.

“Keseluruhannya dalam program ini mereka dapat memberikan pelbagai pandangan secara terus kepada saya dan timbalan menteri.

“Program seumpama ini perlu menjadi program tahunan yang menghimpunkan para pemimpin pelajar untuk berdialog, mencerakin idea dan mengolah idealisme kepemimpinan mahasiswa pada hari ini,” katanya dalam sesi dialog sempena program Karisma anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, AKEPT dan Akademi Kenegaraan (Akar), di sin.

Zambry menjawab sedemikian berhubung persoalan yang diajukan berkenaan ketandusan pemimpin dalam kalangan mahasiswa sehingga ada ahli MPP yang menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, wakil pemimpin mahasiswa turut mencadangkan agar kemudahan yang sama kepada semua MPP di seluruh negara dapat diselaraskan termasuk pemberian elaun mengikut semester atau bulanan sebagai motivasi pelajar menyertai MPP.

Zambry kemudiannya memaklumkan MPP bakal mempunyai peluang untuk menjana pendapatan sendiri dalam menjalankan pelbagai aktiviti mereka termasuk menguruskan kewangan sendiri.

Sementara itu menurut beliau, pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua dalam Dewan Rakyat tidak lama lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×