GEORGE TOWN : Kira-kira 60 peratus pekerja di negara ini tidak sihat kerana memiliki bacaan kolestrol tinggi manakala 23.52 peratus bergelut dengan isu berat badan berlebihan atau obesiti.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata,itu kesimpulan yang dibuat hasil saringan kesihatan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap 175,526 pekerja berumur 40 tahun ke atas bermula tahun lepas hingga 29 Februari lalu.
“Selain itu, 20.45 peratus pekerja berdepan masalah darah tinggi serta 19.91 peratus pekerja menghidap penyakit kencing manis dan gaya hidup tidak sihat termasuk pengambilan gula berlebihan telah menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Antara tahun 2020 hingga tahun lalu juga, kita dapati perbelanjaan Perkeso bagi menampung kos rawatan pencarum yang menghidap penyakit turut meningkat iaitu sekitar RM20 juta hingga RM30 juta setahun,” katanya selepas merasmikan Program Pekerja Sihat dan Selamat di Jabil Malaysia, di sini semalam.
Menurut Steven, Kempen Tolak Gula itu dilaksanakan secara meluas oleh Perkeso dengan sokongan daripada majikan bagi memerangi NCD dalam kalangan pekerja dan langkah awal yang dicadangkan adalah penyediaan minuman tanpa gula di tempat kerja.
“Kempen ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu serta majikan tetapi juga kepada produktiviti negara secara keseluruhan dan kami berharap agar semua pihak dapat membantu merapatkan jurang kesihatan antara pekerja selain membantu memperbaiki kualiti hidup mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Steven berkata, Perkeso menyasarkan untuk membina sebuah pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh dua tahun ini bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang yang mencarum dengan pertubuhan berkenaan.
“Peruntukan sebanyak RM24 juta telah disediakan untuk membina pusat-pusat dialisis di setiap negeri. Setakat ini, Perkeso juga telah mempunyai empat buah pusat dialisis iaitu dua di Selangor dan dua di Johor.
“Justeru, dalam tempoh dua tahun ini, kita sasarkan untuk bina sebuah pusat dialisis di setiap negeri bagi memberi kemudahan kepada pencarum Perkeso yang mengidap penyakit buah pinggang,” katanya.











