Kerinduan penyokong Singa Utara kembali penuhi gelanggang

Kerinduan penyokong Singa Utara kembali penuhi gelanggang keramat

PERKHABARAN Singa Utara bakal kembali beraksi dalam Liga Super selepas 13 tahun hilang dalam radar utama bola sepak negara memberi keterujaan kepada penyokong dan seluruh rakyat negeri ini yang sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi stadium Tuanku Syed Putra.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perkhabaran Singa Utara bakal kembali beraksi dalam Liga Super selepas 13 tahun hilang dalam radar utama bola sepak negara memberi keterujaan kepada penyokong dan seluruh rakyat negeri ini yang sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi stadium Tuanku Syed Putra di sini.

Semalam, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa Perlis United FC (PUFC) diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Perkembangan tersebut memberi harapan kepada penyokong yang sudah terlalu lama merindui untuk melihat Perlis yang dahulunya merupakan sebuah pasukan digeruni kembali beraksi dalam Liga Super.

Seorang penyokong, Muhammad Zaim Redzuan,37, berkata, sebagai peminat dan rakyat negeri ini, dia sudah pastinya gembira jika Perlis kembali beraksi dalam Liga Super.

Katanya, meskipun menyedari Singa Utara sudah tidak segah atau digeruni seperti dahulu namun ia memberi harapan kepada penyokong untuk melihat kembali kebangkitan Perlis.

Justeru, dia sangat berharap agar pengurusan Perlis United dapat memenuhi syarat tambahan ditetapkan MFL untuk melayakkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super.

“Rakyat Perlis sudah terlalu lama merindui suasana untuk kembali ke stadium seperti dahulu di mana stadium pada masa itu sentiasa penuh sesak bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka itu beraksi. 13 tahun tidak beraksi di pentas utama bola sepak negara adalah tempoh yang cukup lama disebalik negeri-negeri lain terus berkembang pesat dalam bola sepak.

“Ia sekali gus turut mengimbau kenangan di zaman kegemilangan Singa Utara yang selalu berada di pentas akhir. Besar harapan kami, agar Perlis dapat kembali ke Liga Super,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, MFL mengumumkan bahawa Perlis United diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-2025.

Keputusan tersebut dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendengar permohonan PUFC menerusi cadangan daripada First Instance Body (FIB) yang telah membuat semakan dan penilaian teliti dokumen-dokumen yang diserahkan kelab M3 Amateur Football League (AFL) itu.

Seorang lagi penyokong, Muhamad Zaki Mutalib,40, berkata, apabila beraksi dalam Liga Super, Perlis United perlu konsisten bukan setakat semusim sebaliknya berterusan dengan perkara utama khususnya membabitkan soal gaji pemain perlu diberikan keutamaan.

Katanya, apabila beraksi di pentas utama bola sepak negara, isu-isu kelewatan atau tunggakan gaji tidak sepatutnya berlaku selain perlu mempunyai persediaan yang rapi selain sumber kewangan kukuh.

“Sebagai peminat bola sepak Perlis, sememangnya kami cukup gembira dan tidak sabar untuk melihat Singa Utara kembali beraksi di Liga Super. Lama dah, kami merindui nak rasa suasana di stadium seperti dahulu.

“Tidak mengapa kita mula dari bawah untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan lebih kuat dalam saingan Liga Super dan kita akan terus memberikan sokongan,” katanya.

Lewat 1990-an sehingga 2010, Perlis bukanlah asing dalam arena bola sepak negara dengan Singa Utara ketika itu cukup disegani lawan selain pernah dianggap giant killer yang memusnahkan pasukan besar.

Dalam era kegemilangan tersebut, Perlis juga pernah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super 2005 selain menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat lain di negara ini.

Malah, dari 2004 hingga 2008 khususnya, Perlis sering kali berada di pentas akhir saingan dengan antaranya menjulang Piala Malaysia selain mem- bawa pulang Piala Sumbangsih sebanyak dua kali.

Namun, selepas lebih sedekad, nama Perlis terus menyepi dan seolah-olah hilang dalam peta bola sepak negara dengan rakyat Perlis sebelum ini hanya menaruh harapan kepada Perlis United yang membawa imej negeri itu beraksi dalam saingan Liga M3.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN