Juadah mahal, rela berbuka mi segera

Juadah mahal, rela berbuka mi segera

GOLONGAN mahasiswa sekitar Shah Alam berbelanja sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli juadah berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Golongan mahasiswa sekitar bandar raya ini berbelanja sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli juadah berbuka puasa dan me­ngaku terbeban berikutan harga makanan di bazar Ramadan didakwa mahal.

Rata-rata mereka memberitahu tiada pilihan untuk membeli makanan selepas harga jualan di mana-mana bazar adalah hampir sama.

Seorang pengunjung Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Ahmad Rizal Ahmad Yusof, 25, berkata, dia berbelanja lebih RM20 untuk membeli juadah untuk berbuka dan bersahur.

“Memang setiap kali ke bazar saya beli untuk waktu sahur sekali. Saya selalu beli nasi beriani, minuman dan juadah sampi­ngan seperti kuih, martabak atau roti John.

“Memang semua itu lebih RM20 dan nampak macam banyak, tapi kalau saya beli juadah lain atau kurangkan pun, lingkungan itu juga atau sekitar RM18 hingga RM20. Sudah tentu belanja pada bulan puasa lebih banyak berbanding bulan lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Nor Syaheera Zulkifli, 20-an juga mengakui perkara yang sama, namun dia sanggup membeli di bazar Ramadan untuk menjimatkan masa.

“Memang dalam kampus ada kafe dan jual lebih murah, tetapi tidak banyak pilihan dan ramai berkumpul dalam satu-satu masa menyebabkan terpaksa menunggu lama,” luahnya.

Sementara itu, Adam Zahri Ismail, 22, memberitahu dia pernah berbuka puasa dengan mi segera sahaja semata-mata mahu berjimat.

Beban sama turut dirasai golongan bekerjaya seperti Nor Sakinah Muhammad Badri, 35, yang mengakui berbelanja di bazar mudah dan menjimatkan masa walaupun terpaksa mengeluarkan lebih wang.

“Sampai di rumah pun sudah pukul 6 petang. Jadi, memang tidak sempat masak untuk keluarga. Cuma pada hari minggu saya akan memasak sekiranya kami sekeluarga berada di rumah dan tidak keluar ke mana-mana,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN