KOTA BHARU: Pas menegaskan hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal utuh walaupun enam Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana masalah itu melibatkan individu yang berkepentingan peribadi dan bukan parti.
“Individu bermasalah ini kena tunggu pilihanraya dan mereka akan dihukum kerana mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat serta parti.
“Tindakan Ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada parti lawan bukan hanya menjejaskan imej parti berkenaan di Kelantan ini malah di seluruh negara ,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu pada masa sama ia turut menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) walaupun kesannya tidak begitu serius.
“Kerana itu sejak dahulu lagi kita sebut kepada Bersatu agar cari calon yang bagus dan boleh dipercayai.
“Mungkin ketika itu mereka tidak ada calon sedemikian. Jadi untuk masa hadapan Bersatu kena pastikan calon-calon dipilih adalah mereka yang tahan diuji,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada Bersatu akan terus diberikan keutamaan bertanding sekiranya berlaku kekosongan dan pilihan raya kecil (PRK) di semua kerusi terlibat termasuk Parlimen Jeli, Gua Musang serta DUN Nenggiri.
“Parti mempunyai sebuah jawatankuasa yang akan membincangkan semua perkara berkaitan. Semuanya akan diputuskan oleh jawatankuasa tersebut,” katanya.-UTUSAN










