KUALA LUMPUR: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini dekat sini bagi pertuduhan mencederakan kepala dan leher bapa kandungnya dengan sebilah parang, minggu lalu.
G. Sridharan, 22, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pemandu lori, N. Gobhi, 58, pukul 5.30 pagi, 17 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Bukit Rawang Jaya, Rawang.
Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.
Tertuduh turut dilarang daripada mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 29 April ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam S. Muthuveeran.
Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, pengawal keselamatan R. Kiriraj, 19, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bapa tirinya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Ibrahim Mohamad Ismail, 45, menggunakan parang pada pukul 12.30 tengah malam, 1 Mac lalu di sebuah rumah di Batu Caves, dekat sini.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, manakala bagi Seksyen 326A tertuduh berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas kesalahan itu.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin membenarkan Kitiraj diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri sebulan sekali selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 5 April untuk sebutan kes.










