LIPIS: Bazar Ramadan transaksi tanpa tunai atau ‘cashless’ di Sungai Koyan di sini adalah yang pertama di Pahang dan bakal diperluaskan ke seluruh negeri ini secara berperingkat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif dengan kerjasama Agrobank itu dalam usaha memperkasakan penjaja-penjaja kecil menguasai perniagaan ‘cashless’.
Menurutnya, Agrobank sudah pun melaksanakan 19 bazar Ramadan ‘cashless’ di seluruh negara termasuk di Sungai Koyan manakala beberapa daerah di Pahang seperti bandar Lipis, Temerloh, Bera dan Jerantut membabitkan pekan sehari.
“Pahang akan bekerjasama dengan Agrobank untuk melaksanakan konsep ini di seluruh negeri pada masa akan datang kerana ternyata memberi kebaikan dalam melaksanakan urusniaga.
“Pelanggan tidak perlu membawa wang tunai bagi membeli juadah berbuka puasa tetapi hanya melalui paparan kod QR yang selari norma baharu dunia perniagaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Cashless Agrobank-Bazar Ramadan Cashless di Dataran Perniagaan Felda Sungai Koyan di sini semalam.
Wan Rosdy berkata, inisiatif ‘cashless’ bazar Ramadan merupakan platform yang ideal bagi penjaja tempatan untuk menggiatkan penggunaan bayaran digital.
“Bazar Ramadan ‘cashless’ merupakan langkah proaktif untuk meningkatkan pendedahan kepada peniaga bazar Ramadan kepada transaksi tanpa tunai termasuklah perkhidmatan DuitNow QR,” katanya.
Jelasnya, pelanggan boleh membuat pembelian dengan cepat tanpa perlu membawa wang tunai fizikal sekali guz mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian. – UTUSAN










